Kebakaran hutan di AS, Kanada makin buruk
LOS ANGELES - Lebih sejuta hektar kawasan di barat Amerika Syarikat (AS) dan Kanada terbakar pada Rabu lalu yang disebabkan oleh suhu tinggi dan kemarau yang melanda di sebahagian kawasan di kedua-dua negara tersebut.
Sebahagian kawasan di California diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap merah ketika kebakaran besar masih lagi berlaku.
Kebakaran besar yang berlaku berdekatan dengan Taman Kebangsaan Yosemite masih belum dapat dikawal, kata beberapa pegawai.
Anggota bomba juga bimbang tentang kebakaran hutan di Mukim Butte yang semakin merebak ke bahagian utara California.
Pada tahun ini, kebakaran hutan di California mungkin mencipta rekod baharu berbanding pada 2020 yang merupakan tahun paling buruk pernah berlaku dalam sejarah moden California.
Menurut AFP, negeri Oregon yang berjiran dengan California mencatatkan kebakaran yang paling banyak membawa kemusnahan.
Cuaca kering dan angin kuat menyebabkan kebakaran hutan di selatan Oregon telah merebak ke kawasan seluas lebih 86,000 hektar iaitu bersamaan dengan 120 padang bola sepak sekali gus mengakibatkan ramai penduduk terpaksa berpindah.
Kebakaran hutan juga berlaku di sempadan Kanada.
Lebih 35 kebakaran baharu berlaku di bahagian barat negara itu yang menghadapi gelombang panas baru-baru ini sejak beberapa hari lalu, menurut pihak berkuasa tempatan.
Salah satu kebakaran itu melibatkan kawasan seluas lebih 40,000 hektar dan hampir 900 penduduk dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.
Pakar-pakar percaya, gelombang panas itu berlaku disebabkan oleh pemanasan global dan tiada tanda-tanda suhu panas itu akan kembali turun. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!