Calon BN puas hati perjalanan undi awal

No Image Caption
A
A
A

SEMENYIH - Calon Barisan BN, Zakaria Hanafi berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal PRK DUN Semenyih yang berlangsung hari ini.

Katanya, apa yang boleh beliau simpulkan setakat ini, perjalanan proses dilihat cukup teratur tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

"Setakat ini saya berpuas hati malah proses pengundian awal juga berjalan lancar kerana saya difahamkan kesemua mereka telah diminta untuk mengundi mengikut jabatan masing-masing.

"Keadaan teratur ini tentunya bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian malah pengundi juga perlu bertugas semula selepas ini," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi bagi pengundian awal PRK Semenyih di Dewan Serbaguna Batallion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih di sini hari ini.

No Image Caption

Hari ini dua pusat mengundi mula dibuka pada jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 858 daripada keseluruhan 951 pengundi awal menunaikan hak mereka.

Sejumlah 761 daripada mereka layak mengundi di pusat mengundi Dewan Serbaguna Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih manakala 97 lagi layak berbuat demikian di Dicress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Sebahagian lagi iaitu 93 pengundi awal terdiri daripada anggota polis, sudah mengundi secara pos, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),

Artikel Berkaitan:

Pusat mengundi awal di Dewan Serbaguna Kem Batalion 4 PGA Semenyih dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang manakala pusat mengundi di Dicress Room, IPD Kajang dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang.

No Image Caption

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada hari pengundian 2 Mac (Sabtu ini), peti undi awal itu akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan.

DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar merangkumi 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!