Rasuah: Empat anggota polis dibebaskan dengan jaminan SPRM
KOTA BHARU - Empat anggota polis yang disiasat bagi kes rasuah RM200,000 daripada tauke dadah, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Rusli Ahmad mengeluarkan perintah itu dengan jaminan RM10,000 seorang bagi setiap penjamin.
Suspek merupakan seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan berusia 48 tahun, manakala tiga anggotanya iaitu seorang berpangkat Sarjan berusia 39 tahun, Koperal (34 tahun) dan Lans Koperal (28 tahun).
Kesemua mereka bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan mereka ditahan di pejabat SPRM di sini pada Khamis lalu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pegawai polis berkenaan direman pada Jumaat lalu selepas dipercayai menerima suapan RM200,000 daripada pasangan suami isteri pengedar dadah.
Susulan itu, SPRM menahan tiga lagi anggota IPD sama bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan juga ditahan pada Sabtu lalu atas kes sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
ARTIKEL BERKAITAN: Deputi Superintendan direman bantu siasatan kes rasuah
2 pegawai kanan direman, polis Kelantan beri kerjasama kepada SPRM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!