Notis pemakluman DUN Johor diserah minggu depan
JOHOR BAHRU - Notis pemakluman pembukaan semula Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan diserahkan kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada minggu hadapan.
Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya mempunyai tempoh 21 hari untuk menyerahkan kesemua notis berkenaan sebelum DUN bersidang pada 12 Ogos kelak.
"Notis pembukaan semula DUN Johor akan dihantar kepada semua ADUN termasuk kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan ADUN Gambir.
"Selain itu, persiapan sedang dibuat bagi memastikan sidang DUN Johor mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Suhaizan menambah, prosedur seperti ujian saringan Covid-19 dan penjarakan sosial sebagaimana persidangan DUN Johor sewaktu pembentangan Bajet Johor pada Oktober tahun lalu, akan kekal dilaksanakan pada sidang DUN kali ini.
"Prosedur yang akan dilaksana termasuk saringan ujian Covid-19 kepada semua yang terbabit terutama wakil rakyat, petugas serta media membuat liputan, penjarakan kerusi selain pemasangan dinding penghadang, jika diperlukan,"katanya.
Pada 7 Julai lalu, kerajaan negeri Johor mengesahkan sudah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang DUN pada 12 Ogos ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, surat rasmi daripada Seri Paduka Baginda yang memperkenankan sidang DUN diadakan pada tarikh tersebut sudahpun diterima kerajaan negeri.
Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga dilaporkan sudah dimaklumkan mengenai perkenan Yang di-Pertuan Agong itu.
Pada 23 Jun lalu, Sultan Ibrahim memperkenankan supaya DUN Johor bersidang pada 12 Ogos ini.
Baginda juga dilaporkan berkenan untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.
ARTIKEL BERKAITAN:Johor terima perkenan Agong adakan sidang DUN 12 Ogos ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!