Kuota guru takmir akan diperhalusi semula
SHAH ALAM - Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memperhalusi semula kuota guru takmir sedia ada dengan nisbah jumlah masjid dan surau di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia termasuk melebar luas keperluan guru takmir mengajar di agensi lain bagi memenuhi keperluan dan kumpulan sasaran.
Katanya, antara agensi yang dipertimbang termasuk Institusi Penjara, Institusi Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Kerajaan hari ini akan terus komited untuk memelihara kebajikan para murabbi ummah dengan memastikan inisiatif-inisiatif yang diberikan dapat dilaksanakan secara berterusan.
"Marilah kita terus merayu dan merintih kepada ALLAH Rabbul Jalil, terus berusaha dan berikhtiar serta bertawakal dengan sepenuh keimanan dan keyakinan di dalam jiwa agar kita teguh dan berjaya mendepani serta mengharungi ujian-ujian kehidupan yang sedang melanda pada ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Konvensyen Murabbi Ummah Peringkat Kebangsaan 2021 secara maya pada Khamis.
Sementara itu, dalam majlis sama, Zulkifli turut menyeru agar murabbi ummah sentiasa meningkat dan memperkasakan ilmu pengetahuan dan kemahiran berdakwah melalui media baharu secara optimum dalam era pandemik Covid-19 ini.
"Kita tidak boleh kerap memberikan alasan bahawa sejak dilaksanakan tempoh kawalan pergerakan, proses pembelajaran dan pengajaran terpaksa ditangguhkan atau dihentikan," katanya.
Jelasnya, masyarakat perlu terus dididik dan dibimbing walau dalam keadaan apa cara sekalipun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!