Jawatan CEO Perak FC dibiarkan kosong
PARIT - Perak FC masih belum melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu mengganti Rizal Ali Naizali yang meletakkan jawatan pada Jun lalu.
Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, bagaimanapun tanggungjawab CEO itu kini akan digalas oleh ahli-ahli lembaga pengarah dan jawatan itu akan dibiarkan kosong untuk sementara waktu.
Menurut beliau, peletakan jawatan Rizal baharu sahaja diputuskan minggu lalu di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Perak FC.
"Kita sudah lama terima surat peletakan jawatan, cuma kita sedang memikirkan sama ada mahu menerima peletakan atau tidak pada masa itu kerana kita tahu dia masih ada lagi tugas yang perlu diselesaikan dan kita sudah terima peletakan itu minggu lalu secara rasmi.
"Tetapi kita tidak menggantikan jawatan kepada individu cumanya ahli lembaga pengarah akan mengambil tugasan berkenaan secara bersama. Selepas ini, untuk apa juga perkara berkaitan pasukan kita akan serahkan kepada Ishsam Shahruddin selaku Pengurus Perak FC," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyerahkan sumbangan sebuah buggy bagi kegunaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Seri Iskandar di sini pada Khamis.
Khairul Shahril yang juga Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak berkata, Perak FC tidak merancang untuk mencari atau mengenalpasti mana-mana calon CEO buat masa ini.
"Pada saya kita ada satu pasukan pengurusan yang kuat jadi saya yakin dalam proses ini ia bukan bergantung kepada individu sebenarnya.
"Walaupun kita rasa agak rugi sedikit kerana CEO tiada tetapi saya yakin dengan pengalaman dan persefahaman ahli lembaga (pengarah) ia akan dapat mengisi kekurangan itu,” katanya.
Rizal sebelum ini meletak jawatan buat kali kedua 10 Jun lalu selepas mengumumkan pengundurannya pada 9 Mei iaitu sejurus selepas Perak kalah 2-3 kepada Sri Pahang dalam aksi Liga Super di Ipoh.
Dalam perkembangan lain, Khairul Shahril berkata, skuad The Bos Gaurus kendalian Chong Yee Fatt dapat menampilkan aksi terbaik dalam meneruskan saingan Liga Super yang akan bersambung pada Sabtu depan.
Katanya, pihaknya menetapkan sasaran untuk berada di dalam kelompok lima pasukan teratas.
"Saya lihat pengurusan Perak FC mencuba sebaik mungkin dari segi persiapan pasukan dan saya mendapat maklum balas baik daripada semua (termasuk pemain baharu) terutama ketua jurulatih (Yee Fatt).
"Sasaran kita bukan sekadar mahu kekal dalam liga tetapi kita mahu berada dalam kelompok lima teratas Liga Super. Itu harapan kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!