HTJ dijadikan hospital hibrid: Exco
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan menjadikan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini sebagai hospital hibrid bagi menampung pesakit Covid-19 susulan peningkatan mendadak kes itu di negeri ini.
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, ketika ini wad unit rawatan rapi (ICU) di HTJ telah beroperasi dalam kapasiti penuh.
Menurut beliau, hospital hibrid itu akan dibuka di tempat letak kereta HTJ bagi menampung pesakit yang dirawat di ICU.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan permohonan untuk membuka hospital hibrid di HTJ dan ia dijangka dibuka dalam masa terdekat ini," katanya menerusi siaran langsung di laman Facebook rasminya pada Khamis.
Sehingga Rabu, sebanyak 1,537 kes baharu positif Covid-19 dengan 16 kematian di Negeri Sembilan menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 55,756 kes.
Sementara itu, Veerapan berkata, pihaknya juga masih menilai keperluan untuk membuka sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini.
"Belum tiba masa untuk membuka hospital medan kerana kita menggunakan fasiliti yang ada sekarang untuk rawat pesakit Covid-19," katanya.
Dalam pada itu,Veerapan turut menasihati masyarakat di negeri ini supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Setakat ini, varian yang dikesan di negeri ini adalah varian South Africa, namun data keberadaan varian lain seperti Alpha dan Beta di negeri ini masih dikenal pasti.
"Jika ada kita akan maklumkan kepada masyarakat selain meminta orang awam agar sentiasa menjaga SOP ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!