'Ribut sekali lagi, rumah boleh roboh'

Masri (kiri) menunjukkan bahagian struktur bumbung yang melengkung dan zink yang sudah bocor kepada Aisyah (kanan) dan Abdul Rahman di rumahnya di Kampung Pinggiran, Gelang Patah, Iskandar Puteri pada Khamis.
Masri (kiri) menunjukkan bahagian struktur bumbung yang melengkung dan zink yang sudah bocor kepada Aisyah (kanan) dan Abdul Rahman di rumahnya di Kampung Pinggiran, Gelang Patah, Iskandar Puteri pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang warga emas di Kampung Pinggiran, Gelang Patah di sini mendakwa hidup dalam ketakutan kerana rumah papan didiami mereka sekeluarga makin usang.

Masri Jambari, 60, berkata, rumah itu hanya menanti masa untuk roboh kerana beberapa tiang utamanya sudah reput, malah kebocoran boleh dilihat di semua tempat terutama pada bahagian bumbung dan dinding.

Menurutnya, ini termasuk struktur asas atap sudah melengkung, manakala bahagian dapur dan bilik ditahan dengan kayu supaya tidak runtuh.

"Rumah ini bertambah teruk apabila dipukul ribut pada jam 9 malam Isnin yang mengakibatkan tiang utama patah dan bahagian dapur runtuh.

"Atap zink rumah ini sudah bocor di semua tempat kecuali bahagian ruang tamu. Setiap kali hujan lebat terutama pada waktu malam kami semua tidak dapat tidur.

"Kami enam beranak berkumpul di ruang tamu setiap kali hujan kerana atap di bahagian bilik semua sudah bocor. Saya tidak mampu membaiki kerosakan kerana hanya bekerja mengambil upah mengopek bawang," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan wakil Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Aisyah Rahman, Ketua Kampung Pinggiran, Abdul Rahman Halim dan Ketua Kampung Melayu, Rahizam Rahmat di rumahnya pada Khamis.

Masri berkata, dia berharap kerosakan rumah pusaka milik adik iparnya itu dapat dibaiki sementara menunggu pembinaan rumahnya sendiri menerusi program Bantuan Rumah Negeri Johor 2021.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, permohonan untuk membina rumah atas tanah miliknya seluas 0.242 hektar di kampung itu sudah diluluskan dengan kos ditanggung Baitulmal sepenuhnya dan sepatutnya mula dibina pada April lalu namun sehingga kini tiada perkembangan.

Sementara itu, Aisyah berkata, Permata sedang mencari pihak yang dapat menyumbang untuk kos membaiki rumah tersebut kerana keadaannya yang amat berbahaya dan sepatutnya enam beranak itu sudah berpindah.

Katanya, mana-mana pihak mahu berbuat demikian boleh berhubung dengan 03-61278906 atau 013-7065553 (Presiden Permata, Faridah Hamzah), sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Mybank Permata Baiduri Malaysia 551128630934.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!