Siput kemudi beri 'nafas' kepada peniaga ketika PKP
JASIN - Terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan memberi ilham kepada seorang peniaga pasar malam untuk mencari siput kemudi di sekitar Pantai Siring di sini sebagai sumber pendapatan.
Mohd Irfan Budin, 33, berkata, siput yang dipanggil beliung oleh penduduk tempatan itu sekurang-kurangnya memberi 'nafas' kepadanya selepas sekian lama tidak dapat berniaga di pasar malam.
Menurutnya, biasanya dia dan rakan-rakan akan mencari siput kemudi setiap kali air surut dan pulang selepas berjaya mengumpulkan kira-kira 100 ekor haiwan berkenaan.
"Selalunya kami akan mencari siput kemudi lebih empat jam di sekitar pantai ini sebelum hasil laut itu dikumpulkan untuk dijual kepada peraih. Jadi dapat menambahkan wang ketika pandemik ini," katanya ketika ditemui di Pantai Siring di sini pada Rabu.
Mohd Irfan berkata, untuk memburu siput kemudi bukan mudah kerana berisiko disengat obor-obor dan ular laut.
Katanya, kaedah untuk mencari siput kemudi ialah dengan meraba cengkerang menggunakan kaki sebelum mengambilnya menggunakan tangan.
"Bila dapat semua siput dalam kuantiti yang banyak, kami akan jual kepada peraih pada harga 80 sen sehingga RM1 setiap ekor. Sekurang-kurangnya usaha ini membantu saya menyara keluarga dalam saat getir ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!