Piala Airmarine tidak libatkan skuad B-23
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan kejohanan empat penjuru, Piala Airmarine 2019 dari 20 hingga 23 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak melibatkan pemain skuad negara bawah 23 tahun (B-23).
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, perkara itu adalah untuk memberi laluan kepada pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee mempersiapkan pasukan terbaik bagi menghadapi Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2020 bermula 22 hingga 26 Mac ini.
Katanya, keputusan untuk tidak melibatkan pemain B-23 negara itu telah dipersetujui selepas berbincang bersama ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dan Kim Swee.
“Ia juga atas permintaan Kim Swee dan kita telah maklumkan perkara ini kepada Cheng Hoe supaya memilih pemain yang lain,” katanya pada sidang media kejohanan Piala Airmarine 2019 di sini, semalam.
Piala Airmarine akan disertai skuad Harimau Malaya, Solomon Islands, Oman dan Singapura.
Sebagai rekod, skuad B-23 negara di bawah kendalian Kim Swee berjaya mencipta kejutan pada edisi Kejuaraan AFC B-23 2018 di China apabila menewaskan Arab Saudi 1-0 untuk melepasi peringkat kumpulan sebelum tewas 1-2 kepada naib juara edisi 2016, Korea Selatan di pusingan suku akhir.
Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 2020 menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah bagi saingan Kumpulan J yang turut dibarisi China, Laos dan Filipina.
Juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik setiap kumpulan akan layak secara automatic. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!