Benarkan operasi 'dine-in', dua pelanggan satu meja

PMNP menggesa kerajaan negeri Pahang supaya memberi kebenaran operasi 'dine-in' di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel di negeri ini. Gambar hiasan.
PMNP menggesa kerajaan negeri Pahang supaya memberi kebenaran operasi 'dine-in' di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel di negeri ini. Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Perindustrian Makanan dan Minuman Negeri Pahang (PMNP) menggesa kerajaan negeri Pahang supaya memberi kebenaran operasi 'dine-in' di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel di negeri ini.

Pengerusi PMNP, Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir berkata, kebenaran itu diberikan dengan menghadkan bilangan dua pelanggan bagi setiap meja.

Menurut beliau, langkah mengehadkan dua pelanggan secara 'dine-in' pernah dilaksanakan sebelum ini dan tiada pula mencetuskan kluster kedai makan atau hotel di negeri ini.

"Kita minta kerajaan Pahang memberi kebenaran operasi 'dine-in', tidak wajar keputusan pembatalan bagi pelanggan 'dine-in' dibuat kerana ia menyebabkan lebih banyak perniagaan ditutup. Ini juga menyebabkan ramai rakyat kehilangan pekerjaan.

"Apa perasaan pemain industri makanan dan minuman (F&B) di negeri ini bila kerajaan cakap 'total lockdown' sedangkan sektor lain diberikan beroperasi.

"Kalau kita lihat sektor kilang boleh, sektor pembinaan boleh, pusat membeli-belah, pengangkutan awam boleh jalan. Tetapi di restoran mahupun kedai makan pelanggan tidak boleh makan. Jadi saya berpendapat tindakan ini tidak masuk akal," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Zuhairi berkata, tindakan kerajaan yang 'stop and go' secara berulang kepada industri F&B ini menjejaskan aliran tunai.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan guaman kepada pengusaha kilang, premis atau kedai berhubung rantaian bekalan makanan yang pernah dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, mereka ini adalah mangsa ketidaktentuan berhubung peraturan SOP yang dilaksanakan kerajaan.

"Kami telah menyediakan pasukan peguam yang berpengalaman untuk mengendalikan isu kompaun industri F&B ini.

"Jadi, mereka yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP boleh hubungi talian 0105331717 untuk pertanyaan lanjut dan bantuan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!