Ketua pembantu tadbir sekolah didakwa 22 pertuduhan rasuah
TAWAU - Seorang kakitangan awam yang didakwa atas 22 pertuduhan mendapatkan suapan berjumlah RM24,580.45 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau pada Khamis.
Tertuduh, Silvester Pantau, 52, yang menjawat jawatan sebagai ketua pembantu tadbir di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Menurut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu sejak 4 Mac 2015 hingga 13 November 2015 dengan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan mengemukakan invois syarikat milik saudaranya.
Tertuduh, didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah meminta supaya dibicarakan sebelum dibebaskan dengan bon jaminan sebanyak RM10,000.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan penuh.
Pasport tertuduh diserahkan kepada pihak mahkamah selain diminta melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap dua bulan sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Rekhraj Singh dan tertuduh diwakili peguam, Zahir Hussein Ahmad Shah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!