Ubat didakwa rawat Covid-19 dirampas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) merampas 255 kotak produk tradisional yang didakwa berupaya merawat jangkitan Covid-19 dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini sejak tahun lalu.

Pengarah JKNPP, Datuk Dr Asmayani Khalib berkata, rampasan dibuat Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi selepas produk terbabit disyaki tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Menurut beliau, operasi itu adalah Ops Tonkerbell (BW), Ops Prangin, Ops Dapur dan Ops Yao yang melibatkan 15 pegawai penguat kuasa farmasi.

"Hasil nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,000 melibatkan serbuan di sebuah kediaman, premis kedai makan, kedai ubat dan kiosk di sebuah pusat membeli-belah.

"Siasatan awal mendapati produk tersebut dipercayai dibawa masuk secara haram dari negara China," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Asmayani berkata, produk tidak berdaftar itu dijual dengan dakwaan ianya berkesan dalam merawat jangkitan Covid-19 dan dikhuatiri akan mengelirukan orang ramai.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 kerana melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Artikel Berkaitan:

"Bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan termasuklah yang dibeli secara dalam talian.

Tambahnya, pengguna perlu memastikan produk yang dijual mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut.

"Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan 'Product Search' atau dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1- 800-88-6722.

"Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!