Menteri langgar SOP rosakkan kredibiliti PKP: Khairy

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui menteri yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) merosakkan kredibiliti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, tindakan itu antara faktor rakyat sudah kurang percaya terhadap keberkesanan Sekatan Pergerakan Penuh.

“Saya rasa dari sudut itu, kita telah melakukan beberapa kesilapan,” katanya dalam wawancara bersama The Sydney Morning Herald dan The Age.

Khairy berkata, walaupun tidak ada negara yang mempunyai tindak balas sempurna di dunia dalam membendung krisis kesihatan, kerajaan boleh melakukan perkara tertentu dengan lebih baik.

Menurutnya, setelah beberapa ketika, sangat sukar untuk membuat orang ramai mematuhi sekatan pergerakan disebabkan keletihan.

“Saya tidak menyalahkan orang ramai. Untuk mematuhi had dan sekatan di luar kebiasaan ini ke atas tingkah laku atau pergerakan anda (adalah sukar). Akhirnya, akan ada masanya rakyat tidak berwaspada.” ujar beliau.

Menyentuh percaturan program imunisasi, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Malaysia berupaya memacu kadar inokulasi di seluruh negara hasil rundingan semula dengan pembekal vaksin Covid-19.

Beliau berkata, pendekatan itu adalah jalan terbaik memandangkan perolehan bekalan vaksin hanya dari satu saluran bakal mengundang risiko.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu kita runding dengan pelbagai pihak dan memperluaskan sumber portfolio vaksin,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!