Dua lelaki bebas dakwaan bunuh pegawai JPJ
JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis melepas dan membebaskan seorang nelayan dan seorang buruh atas dakwaan membunuh seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pontian, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Shahnaz Sulaiman membebaskan Mohammad Khalifah Yahya, 27, dan S Ragu, 41, daripada pertuduhan membunuh Jaiman Sapar pada 27 Januari 2017.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat mengikut Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah.
Dalam penghakimannya, Shahnaz memberitahu pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Mahkamah bagaimanapun mengakui kecederaan yang dialami mangsa tidak mungkin akibat perbuatan sendiri, namun bukti yang diserahkan kepada mahkamah tidak mencukupi untuk mendapati kedua-dua tertuduh bersalah melakukan pembunuhan itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohammad Khalifah Ragu didakwa atas kesalahan membunuh kakitangan kerajaan itu di sebuah rumah di Parit Pak Intan, Kayu Ara Pasong, Pontian pada jam 12.30 tengah hari, 27 Januari 2017.
Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norliza Abdullah, manakala Mohammad Khalifah diwakili peguam, Md Zahar Ngah dan Ragu diwakili peguam, Freda Sabapathy, Foo Fang Leong dan Veeranesh Babu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!