Risiko jangkitan Covid-19 kepada penduduk Sri Andalas sangat rendah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Risiko jangkitan Covid-19 secara aerosol (bawaan udara) kepada penduduk Taman Sri Andalas, Klang, dekat sini susulan pengoperasian Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas adalah sangat rendah.

Pejabat Kesihatan Daerah Klang (PKDK) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, ia berikutan jarak antara dewan ke rumah terdekat adalah melebihi dua meter dan risiko jangkitan daripada pesakit yang beratur kepada komuniti juga adalah minimum kerana pesakit berada di luar bangunan yang mana kepekatan zarah virus adalah rendah disebabkan pengudaraan yang baik.

Pesakit Covid-19 beratur untuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas.
Pesakit Covid-19 beratur untuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas.

PKDK turut menjelaskan pemilihan Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas sebagai CAC adalah kerana lokasi fasiliti berkenaan berhampiran dengan hospital iaitu dalam jarak satu kilometer dan memudahkan ambulans menghantar kes Covid-19 kategori empat serta lima ke fasiliti itu untuk rawatan lanjut.

“Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas ini juga bersaiz besar dan memenuhi keperluan CAC termasuk ruang pendaftaran, penilaian doktor, pemotongan gelang dan borang kuarantin, katil pemerhatian serta rawatan yang dilengkapi tong bekalan oksigen,” menurut hantaran itu.

Sebelum ini, media melaporkan pembukaan CAC di dewan tersebut mendapat bantahan daripada penduduk setempat yang menyuarakan kebimbangan kemungkinan akan berlaku peningkatan kes Covid-19 di kawasan tempat tinggal mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!