Lelaki mengamuk dengan pedang mati ditembak

No Image Caption
A
A
A

PADANG BESAR - Seorang lelaki maut ditembak selepas bertindak menyerang anggota polis dengan sebilah pedang dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padang Besar tiba di rumah itu pada kira-kira jam 5.30 petang selepas menerima aduan daripada seorang suri rumah mendakwa didera suaminya.

“Tindakan lelaki berusia 55 tahun itu yang enggan keluar dari rumah telah memaksa anggota polis memasuki rumah berkenaan melalui tingkap.

“Lelaki itu yang memegang sebilah pedang bertindak agresif hingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis sebelum polis melepaskan satu tembakan amaran,” katanya kepada pemberita hari ini pada Jumaat

Beliau berkata, polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan kedua demi melindungi keselamatan semua anggota polis dan anak lelaki itu selepas lelaki berkenaan terus bertindak agresif menyerang polis.

Menurutnya, lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.

Lelaki itu mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah, ugutan jenayah, khianat serta kesalahan di bawah Akta Racun.

"Kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!