Penduduk tak tahan pencemaran bau asap
Menurutnya, dalam tempoh tersebut, dia dan penduduk di situ terpaksa menanggung kesan akibat daripada pembakaran terbuka yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab di tebing sungai yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka.
Katanya, kesan dari pembakaran itu mengeluarkan asap serta bau busuk seperti bahan kimia yang menyebabkan penduduk berasa sakit tekak serta mengganggu pernafasan.
"Kami terutamanya anak-anak mengalami demam dan batuk berpanjangan dan ada yang kerap keluar masuk hospital.
"Kami terpaksa bawa anak berjumpa doktor setiap bulan dan dinasihatkan doktor untuk berpindah bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku, "katanya memberitahu kebanyakan penghuni yang tinggal di situ terdiri daripada golongan yang baru berkeluarga.
Katanya, dia sendiri juga akan berpindah sekiranya masalah itu gagal diselesaikan pihak bertanggungjawab dalam masa terdekat.
"Mungkin sesetengah pihak melihat masalah kami ni hanya masalah biasa tapi hakikatnya kami sudah tidak boleh bertahan.
"Kesihatan kami dan anak-anak lebih penting. Jika pindah adalah jalan terbaik, itu yang akan kami lakukan. Tapi bagaimana dengan yang lain yang mungkin terpaksa juga tinggal di sini?, "katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Syafiq berkata, pembakaran terbuka itu biasanya dijalankan pihak tidak bertanggungjawab antara jam 2 pagi ke atas dan akan terpadam pada jam 7 pagi.
Katanya, selepas itu akan keluar kepulan asap serta bau sehingga masuk ke rumah penduduk walaupun tingkap dan pintu ditutup rapat.
"Perkara ini sudah kami adukan melalui emel kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Alam sekitar serta Adun sejak dari tahun lalu tapi masih tiada tindakan diambil untuk menghentikan terus kegiatan haram tersebut.
"Terbaru kita juga adukan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berhubung perkara ini, "katanya.
Katanya, beliau berharap pihak yang terlibat tidak lepas tangan dan dapat menjalankan tugas masing-masing untuk menangani masalah itu yang sudah berlarutan.
Sementara itu, Amirudin menerusi ciapan di Twitter pada 21 Februari lalu memberi respon terhadap aduan itu dan mengarahkan MBSA dan Jabatan Alam Sekitar untuk segera mengambil tindakan terhadap aduan tersebut.
"Ambil tindakan sewajarnya kerana pembakaran terbuka boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut,"katanya.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya sudah membuat pemeriksaan di lokasi dan mendapati kawasan tersebut merupakan tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Kita sudah maklumkan kepada JPS untuk tindakan selanjutnya " katanya memberitahu tindakan tersebut dijalankan pada minggu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!