Undi awal: Aiman tertinggal pas calon rupanya...
SEMENYIH- Calon PH, Muhammad Aiman Zainali menegaskan kelewatan beliau tiba di Dewan Serbaguna Batallion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini, disebabkan oleh 'masalah teknikal'.
Katanya, beliau hadir ke dewan berkenaan seawal jam 8:50 pagi namun tidak dibenarkan masuk ke dalam kerana tertinggal pas calon.
"Sebenarnya saya ada sedikit masalah, saya berada di sini dari 8:50 pagi lagi tapi ini pengalaman pertama saya .
"Pas calon saya ini berada bersama dengan dokumen lain dalam kerata lain, jadi kereta itu sudah bergerak ke Kuala Lumpur jadi itu saya terpaksa menunggu ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Undi awal: Aiman 'hilang' lagi?
Beliau berkata masalah selesai setelah pas calon itu dikembalikan kepadanya sekitar jam 11:30 pagi tadi.
"Saya menunggu hampir 3 jam, kemudian baru boleh masuk," katanya.
Sebelum itu kehadiran Aiman dinantikan media, namun hampa apabila kelibatnya masih tidak kelihatan meskipun ketiga-tiga calon lain iaitu Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon Bebas Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai “Uncle Kentang” masing-masing hadir ke dewan itu sekitar jam 9 hingga 10 pagi tadi.
Isu 'kehilangan' Aiman daripada radar pengamal media, sering mendapat perhatian, terdahulu semalam hampir seharian Aiman hilang.
Menjawab kepada kehilangannya itu Muhammad Aiman semalam menjelaskan, beliau tidak 'hilang' dan tetap melakukan aktiviti lawatan kerja serta berkempen seperti biasa.
Hari ini dua pusat mengundi mula dibuka pada jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 858 daripada keseluruhan 951 pengundi awal menunaikan hak mereka.
Sejumlah 761 daripada mereka layak mengundi di pusat mengundi Dewan Serbaguna Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih manakala 97 lagi layak berbuat demikian di Dicress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Sebahagian lagi iaitu 93 pengundi awal terdiri daripada anggota polis, sudah mengundi secara pos, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),
Pusat mengundi awal di Dewan Serbaguna Kem Batalion 4 PGA Semenyih dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang manakala pusat mengundi di Dicress Room, IPD Kajang dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang.
PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.
Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
Pada hari pengundian 2 Mac (Sabtu ini), peti undi awal itu akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan.
DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar merangkumi 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!