Penduduk tertekan, hampir setiap hari lif rosak

Affa (empat dari kiri) bersama ketua blok berkumpul pada Jumaat memohon supaya isu lif di PA Desa Rejang, Kuala Lumpur diselesaikan segera.
Affa (empat dari kiri) bersama ketua blok berkumpul pada Jumaat memohon supaya isu lif di PA Desa Rejang, Kuala Lumpur diselesaikan segera.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, di sini tertekan apabila hampir setiap hari berdepan masalah lif rosak disebabkan kelemahan penyelenggaraan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak PA Desa Rejang, Affa Syaripuddin berkata, kekerapan lif rosak hampir setahun menyebabkan penduduk terpaksa mengabaikan penjarakan fizikal dan berhimpit di dalam lif untuk cepat sampai ke rumah.

"Apabila hampir setiap hari lif di sini rosak, ia menjadi masalah kepada penduduk untuk naik dan turun terutama pada waktu pergi dan pulang kerja.

"Penduduk terpaksa berasak-asak, berebut masuk ke dalam lif dan mengabaikan penjarakan fizikal untuk segera sampai ke rumah. Ia mengundang risiko jangkitan Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya, PA Desa Rejang telah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 18 Jun lalu dan tidak mahu situasi sama berulang disebabkan jangkitan Covid-19 berpunca isu bersesak di dalam lif.

Jelasnya, isu lif dihadapi sebelum pelaksanaan PKPD lagi dan berlanjutan sehingga kini.

"Adakala hanya satu lif yang berfungsi, sedangkan ada tiga atau empat lif di setiap blok. Hampir semua blok hadapi masalah sama.

"Saya harap Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mendengar aduan penduduk dan mengambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk memohon syarikat yang menguruskan bangunan PA Desa Rejang ditamatkan perkhidmatan kerana gagal mengurus tadbir dan menyelesaikan masalah di perumahan tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!