Permohonan reman pemilik rumah penjagaan ditolak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan reman terhadap pemilik rumah penjagaan yang ditahan bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan, ugutan jenayah dan gagal memberi jagaan dan pengawasan yang mencukupi telah ditolak mahkamah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, bagaimanapun, pihaknya akan memanggil individu berkenaan untuk dirakam keterangan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kami akan melengkapkan kertas siasatan, sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Abdul Jalil berkata, pada Rabu, satu lagi kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 5(2) Akta Pusat Asuhan 1953.

"Individu berusia 29 tahun itu telah ditangkap pada jam 10.36 pagi, Khamis di kediamannya di Wangsa Maju.

"Kami telah buat permohonan reman pada hari ini (Jumaat), namun mahkamah tidak meluluskan permohonan tersebut, suspek dibebaskan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes dera: Pemilik rumah penjagaan ditahan

Polis siasat kes anak istimewa didakwa didera


Pada 6 Julai, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof dalam kenyataan memaklumkan polis menerima laporan mengenai kes penderaan remaja perempuan berusia 13 tahun di sebuah rumah penjagaan di Wangsa Maju pada 24 Jun lalu.

Mangsa adalah orang kurang upaya (OKU) sindrom down mengalami kesan melecur pada dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka pada bahagian badan lain.

Mangsa yang tinggal di kondominium berkenaan sejak 14 Julai 2020 telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Rumah penjagaan yang terletak di Taman Setapak di sini turut dikenakan sita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

Pelindung Unit Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka daripada rumah penjagan itu.

Rumah penjagaan itu juga didapati beroperasi secara haram sejak tahun 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!