Kit ujian antigen Covid-19 buatan Malaysia mula dijual 19 Julai

Kit Ujian Pantas Antigen Salixium Covid-19 dapat mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung.
Kit Ujian Pantas Antigen Salixium Covid-19 dapat mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kit ujian kendiri pantas antigen Covid-19 buatan Malaysia yang pertama, ‘Kit Ujian Pantas Antigen Salixium Covid-19’, akan mula dijual kepada orang awam pada 19 Julai ini, kata MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD).

Pengurus Projek MeDKAD, Syahriah Razak berkata, kit Salixium itu dapat mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung.

Kit ujian pantas mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk dilakukan dan hasilnya dinilai oleh jalur yang dapat dilihat dengan jelas, ia akan mengesahkan kewujudan antigen.

"Kewujudan atau ketiadaan antigen SARS-CoV-2 dalam persampelan akan ditunjukkan menerusi jalur berwarna merah jambu/ungu di kit tersebut. Sekiranya sampel berkenaan tidak mengandungi antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna akan muncul, menunjukkan hasil ujian adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan.

"Sebagai pengawalan prosedur, jalur warna kit yang kelihatan itu mengesahkan persampelan yang betul tanpa mengira sama ada wujud atau tiada antigen SARS-CoV-2 dalam sampel tersebut,” katanya.

Sebanyak 242 sampel air liur atau calitan hidung diuji dengan Salixium dan keputusan menunjukkan bahawa sensitiviti Salixium adalah 91.23 peratus manakala ketepatannya ialah 100 peratus, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob berkata, MeDKAD mempunyai saintis dan pakar perubatannya sendiri yang mempunyai kemampuan untuk bukan sahaja bagi membangunkan kit ujian mereka sendiri tetapi untuk bekerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan luar negara untuk memastikan keberkesanan produk tersebut.

Selain Malaysia, MeDKAD merancang untuk menembusi pasaran di negara-negara lain di Asia, Eropah dan Timur Tengah kerana Salixium juga telah digunakan secara meluas di Perancis, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu terutama di Dubai.

Artikel Berkaitan:

Ditubuhkan pada tahun 2016 dan beribu pejabat di Shah Alam, Selangor, MeDKAD adalah syarikat teknologi kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada syarikat untuk menguruskan manfaat perubatan mereka dengan lebih baik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!