Pemandangan pilu di Tanah Perkuburan Seksyen 21

Petugas kesihatan yang lengkap berpakaian PPE ketika menguruskan pengkebumian jenazah pesakit Covid-19 dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada Jumaat. - Foto Bernama
Petugas kesihatan yang lengkap berpakaian PPE ketika menguruskan pengkebumian jenazah pesakit Covid-19 dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, dekat sini tidak seperti hari biasa apabila deretan van jenazah dilihat keluar masuk ke kawasan tersebut bagi proses pengebumian dipercayai melibatkan jenazah pesakit Covid-19.

Suasana pilu dirasai di luar kawasan tanah perkuburan tersebut dengan kedengaran tangisan serta alunan bacaan ayat suci al-Quran oleh waris-waris jenazah yang setia menunggu sejak 4.30 petang tadi.

Deretan enam buah van jenazah yang dipandu petugas kesihatan lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) diiringi anggota polis dilihat tiba di pintu pagar utama tanah perkuburan itu pada 7.40 malam, disusuli ketibaan enam lagi jenazah dibawa oleh pasukan sama pada 9.20 malam.

Media difahamkan (dari seorang daripada penggali kubur di tanah perkuburan itu), sejak pagi hingga 5 petang tadi sebanyak 14 jenazah pesakit Covid-19 telah selesai dikebumikan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Para wartawan dan jurugambar yang telah menunggu sejak petang tadi juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan tanah perkuburan tersebut.

Sementara itu, seorang anak kepada jenazah yang dikebumikan, Irwan Tukiman, 39, berasa terkilan kerana tidak dapat menyempurnakan pengebumian bapanya Tukiman Roslan, 75, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) pada 7.52 pagi, Rabu lepas.

Deretan van jenazah yang membawa enam daripada 12 jenazah pesakit Covid-19 dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dikebumikan ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada Jumaat. - Foto Bernama
Deretan van jenazah yang membawa enam daripada 12 jenazah pesakit Covid-19 dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dikebumikan ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada Jumaat. - Foto Bernama

“Arwah bapa saya dimasukkan ke hospital sejak 4 Julai lepas akibat komplikasi pernafasan dan kurang tenaga kerana tiada selera makan. Arwah juga mempunyai kencing manis, darah tinggi serta kanser kelenjar air liur tetapi tidak menjalani kimoterapi.

Artikel Berkaitan:

“Saya hanya sempat membuat panggilan video dengan arwah sehari sebelum arwah meninggal dan ketika itu bapa boleh duduk dan tidak menunjukkan apa-apa tanda yang dia akan pergi selamanya” katanya kepada pemberita.

Irwan berkata, 12 ahli keluarganya, termasuk arwah bapanya yang berasal dari Batu 10, Kebun Baru, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, dijangkiti Covid-19 dan sebahagian daripada mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang manakala arwah ditempatkan di HTAR.

Sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 12,541 kes positif harian direkodkan seluruh negara hari ini di mana Selangor masih mencatatkan kes tertinggi sebanyak 5,512 kes.

Sebanyak 53 kes kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,264 kes kematian di Selangor. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!