Nur Suryani tekad perbaiki rekod di Tokyo 2020
KEKANGAN masa bukan penghalang buat penembak wanita negara Nur Suryani Mohamed Taibi untuk berusaha mencapai tahap prestasi terbaik dalam misinya memperbaiki rekod pencapaian peribadi di Sukan Olimpik Tokyo, minggu depan.
Nur Suryani yang menamatkan acara 10m Air Rifle individu di kedudukan ke-34 pada penampilan Olimpik sulungnya di London sembilan tahun lepas, kini sudah bersedia untuk beraksi pada temasya sukan berprestij itu.
Namun, beliau yang dijadual berlepas ke Tokyo esok, mengakui perlu segera menyesuaikan diri terutama dari segi cuaca untuk mengelakkan momentum bidikan yang dibinanya terjejas.
"Sasaran nak bawa balik pingat saya tidak berani nak cakap, itu semua ketentuan Allah. Kita hanya mampu berusaha, berdoa dan tawakal selepas buat yang terbaik. Insya-Allah semua akan berjalan dengan lancar," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Atlet berusia 38 tahun itu akan menyambung latihan di Tokyo selepas menamatkan tempoh kuarantin selama tiga hari di Lapang Sasar Menembak Asaka, sementara aksinya di Tokyo dalam acara 50m Rifle 3 Position individu wanita bermula 31 Julai ini.
Sementara itu, Nur Suryani mengakui berjauhan dengan keluarga terutama dua anaknya merupakan antara cabaran terbesar yang perlu diatasi bagi mendapatkan fokus sepenuhnya sewaktu berada dalam kem latihan pusat secara kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, sejak awal bulan ini.
“Cabaran jugalah tidak dapat jumpa keluarga sebab keluarga yang bagi sokongan moral, jadi bila pergi pertandingan kena pastikan ia berbaloi sebab kita terpaksa berpisah dengan anak dan suami,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatihnya Mohd Yusri Jusoh berkata setelah perbincangan antara Persatuan Kebangsaan Menembak Malaysia (NSAM) dan MSN, tiada sebarang sasaran pingat diletakkan ke atas Nur Suryani.
“Kita hanya sasarkan yang terbaik untuk Nur Suryani sebab kita ada masalah dari segi persiapan sebab masa kita diberitahu (tentang kelayakan), hanya tinggal lima minggu sahaja sebelum Olimpik,” katanya sambil memaklumkan temasya terakhir disertai anak buahnya itu adalah pada Sukan SEA 2019 di Filipina.
Bagaimanapun, Mohd Yusri berkata berdasarkan perkembangan dalam latihan, Nur Suryani menunjukkan peningkatan positif dari semasa ke semasa.
Nur Suryani sah beraksi di Tokyo selepas menjadi atlet pilihan NSAM yang menerima satu slot 'wild card', awal bulan lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!