Antara kasih dan benci

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SESUNGGUHNYA sifat kasih dan benci merupakan dua nilai berbeza dan bertentangan. Bagi sifat kasih, segala kemakmuran dan ketenangan dapat dirasai orang yang menyalurkan kasih sayang dan mereka yang menerima kasih sayang.

Bagi sifat benci, mendorong jiwa yang resah dan gelisah kerana berpaksikan dendam serta curiga berpanjangan. Apa yang jelas, sifat kasih dan benci akan membezakan martabat mereka di sisi ALLAH dan masyarakat.

Sebetulnya, terdapat dua sifat yang berada antara kasih dan benci iaitu suka dan tidak suka. Sifat suka, jika dipupuk dengan baik akan memarakkan nilai kasih manakala sifat tidak suka pula membantu kita tidak terjerumus ke dalam kelodak benci.

Persoalannya kenapa sifat tidak suka lebih baik berbanding benci? Anologinya cukup mudah, jika kita tidak suka kepada buah durian, kita hanya beralih daripada tempat orang yang makan durian serta menolak dengan baik sekiranya dijemput untuk menikmati buah tersebut.

Namun, jika kita benci kepada buah durian, kita bukan sahaja beralih daripada kelompok yang sedang makan durian, malah turut membenci orang yang makan durian dan tidak mahu mereka mendekati kita.

Begitulah juga sifat tidak suka kepada seseorang. Apabila kita tidak menyukainya, hanya terbatas dalam beberapa perkara sahaja. Namun apabila kita membenci, semua perkara berkaitan dirinya adalah dibenci walaupun terkandung beberapa perkara yang baik.

Besarnya impak benci sehingga Martin Luther king Jr, seorang aktivis hak asasi manusia di Amerika Syarikat berkata, “Kebencian merupakan perkara yang amat berat untuk ditanggung. Maka saya memilih untuk berkasih-sayang.”

Menurut perspektif psikologi, sifat marah sangat berbeza dengan benci. Kebiasaannya kita akan marah kepada seseorang jika mereka telah melakukan kesalahan dan menuntut kemaafan atas kesilapan mereka.

Artikel Berkaitan:

Pun begitu, sifat benci adalah kepada empunya diri dan boleh merebak daripada generasi kepada generasi.

Selain itu, kebencian melibatkan motivasi untuk membalas dendam dan menghapuskan mereka yang dibenci. Motif utama adalah membalas balik apa yang pernah dilukai oleh mereka.

Menurut beberapa kajian, kebencian terhadap sesuatu kumpulan lebih tinggi berbanding dengan individu kerana mereka berkongsi kebencian yang sama.

Selain itu, kebencian adalah suatu fenomena projection iaitu menonjolkan dirinya seorang yang baik dengan cara memburukkan orang lain.

Berlandaskan perspektif Islam, sifat benci adalah berkait dengan akhlak yang buruk. Menurut Hussain Ali RA bahawa Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya ALLAH SWT menyukai perkara (akhlak- akhlak) yang tinggi dan mulia dan ALLAH SWT membenci perkara- perkara (akhlak-akhlak) yang keji.”. (Hadis Riwayat al-Thabarani).

Adalah jelas, mereka yang masih kekalkan sifat membenci kerana sudah menjauhi sifat kasih dan sayang serta tidak takut balasan ALLAH SWT.

Menurut Dr Majdi al-Hilali menerusi bukunya Di Hati Kita Bermula, “Menanamkan rasa takut kepada ALLAH adalah sebagai alat yang digunakan oleh para Rasul dan pendakwah. Ia telah banyak membuka hati yang sedang lalai, mata yang buta dan telinga yang dungu. Ia merupakan terapi yang berkesan atau ubat bagi mereka yang hatinya terpikat dengan dunia. Itulah hakikat daripada langkah awal untuk menghidupkan hati ingat kepada ALLAH SWT.”

Pada hemat saya, walaupun sikap tidak suka masih lagi dalam lingkaran negatif, namun ia lebih baik daripada terus terperangkap dalam zon kebencian.

Adalah jelas kebencian adalah api yang menyambar sesiapa sahaja yang menjadi mangsa kebencian dan menjadi racun kepada pembenci.

Justeru, beralihlah kepada sikap tidak suka kerana boleh membantu peralihan sikap suka dan sayang dalam jangka masa panjang.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!