Ditipu scammer jual tv 65 inci di platform e-dagang popular

Faiz menunjukkan perbualannya bersama peniaga yang kemudiannya meminta dia menyerahkan nombor pengesahan pembelian.
Faiz menunjukkan perbualannya bersama peniaga yang kemudiannya meminta dia menyerahkan nombor pengesahan pembelian.
A
A
A

SHAH ALAM - Siapa yang tidak tertarik dengan tawaran separuh harga bagi produk televisyen pintar bersaiz 65 inci yang dijual di platform e-dagang?

Disebabkan tawaran yang hebat dan jarang diperolehnya, seorang pekerja swasta, Faiz Zarizi, 32, tidak menyangka menjadi mangsa scammer dalam platform e-dagang popular.

Cerita Faiz, dia tertarik dengan tawaran setengah harga iaitu RM1499.17 bagi produk televisyen pintar bersaiz 65 inci, pada Selasa lalu.

Awalnya menurut Faiz, dia sangsi dengan tawaran tersebut kerana akaun peniaga itu baharu dicipta sembilan hari dan tiada sebarang maklum balas daripada pelanggan sebelum ini.

“Pada saya mungkin peniaga mahu habiskan stok jualan. Kalau harga di pasaraya, hampir RM3,000. Lagipun saya memang mencari televisyen baharu.

“Saya terus melakukan pembelian dengan menggunakan kad kredit,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sehari selepas melakukan pembelian, rasa sangsi Faiz terhadap peniaga itu terjawab selepas dia menerima mesej daripada peniaga melalui nombor telefonnya.

“Di akhir perbualan itu, peniaga meminta nombor pengesahan pembelian. Ketika itu terjawab semuanya. Peniaga itu adalah scammer. Saya terus mematikan perbualan.

Artikel Berkaitan:

“Bayangkan kalau saya bagi nombor itu. Dia godam akaun dan klik ‘order received’, syarikat e-dagang itu lepaskan bayaran, saya yang akan rugi. Jika tidak pun, scammer itu boleh ambil maklumat kad kredit saya,” katanya.

Kisah Faiz itu turut tular di media sosial selepas dia berkongsinya di Facebook.

Faiz berkata, beliau kemudiannya membuat laporan kepada platform e-dagang berkenaan dan akaun berkenaan ditamatkan dan bayaran semula akan dibuat oleh pengendali jualan atas talian itu.

“Bagaimanapun saya melihat wujud satu lagi akaun peniaga yang menggunakan nama hampir sama malah menjual barangan yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Faiz menasihati pengguna lain supaya lebih berhati-hati dengan tawaran hebat melalup pembelian atas talian.

“Jadikanlah kes saya ini sebagai pengajaran buat semua. Buat pengendali e-dagang, kalau boleh tapislah pelanggan anda supaya pengguna tidak menjadi mangsa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!