Bakul makanan redakan kebimbangan ibu tunggal
ALOR SETAR - Kerisauan yang dialami seorang ibu tunggal terhadap kelangsungan hidup berikutan tidak dapat menjana pendapatan untuk keluarga sepanjang pandemik Covid-19 reda apabila menjadi antara penerima bantuan bakul makanan yang disediakan kerajaan.
Selasiah Md Isa, 43, yang menjana pendapatan dengan membuat kuih-muih secara kecil-kecilan selepas kematian suami dua tahun lepas berkata, dia kini mensyukuri segala yang ditakdirkan untuknya dan keluarga selain mereka kini tidak lagi perlu mengikat perut.
"Sebab itu apabila dapat bakul makanan yang ada pelbagai makanan kering ini, saya berasa lega sangat. Ada beras, cukuplah, ikan saya pancing di sungai, sayur ulam kutip tepi rumah saja," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Padang Hasan, Kepala Batas dekat sini pada Jumaat.
Sebelum ini, tugas mencari rezeki terletak sepenuhnya di bahu arwah suaminya Ismail Husin yang bekerja sebagai pemandu lori, manakala Selasiah hanya menguruskan rumah tangga. Pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata berusia empat hingga 17 tahun, termasuk seorang anak lelaki istimewa, sindrom Down.
“Suami meninggal dunia akibat pelbagai penyakit kronik dan sebelum ini saya ada buat kuih-muih sedikit untuk sara keluarga, tapi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banyak kes Covid-19, saya dah tak berani nak ke sana sini sebab anak saya yang kurang upaya ini doktor kata antibodi dia tak kuat, jadi takut terbawa balik penyakit kepadanya,” ujarnya.
Selasiah memberitahu, dia kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan daripada Lembaga Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meneruskan kehidupannya.
“Saya juga bersyukur sebab pemimpin masyarakat dan orang di kampung ini banyak membantu. Saya juga menerima bakul makanan daripada banyak pihak dan cukuplah untuk kami sekeluarga," katanya.
Perasaan sama turut dikongsi seorang lagi penerima bantuan bakul makanan, Sofiah Abu Seman, 44, yang menghidap pelbagai komplikasi penyakit kronik sehingga memaksa suaminya berhenti kerja semata-mata mahu menguruskannya yang kini bergelar orang kelainan upaya (OKU).
Sofiah yang kudung kaki kiri selepas diamputasi pada 2019 akibat diabetes, bukan sahaja terpaksa berkerusi roda, malah buah pinggangnya juga tidak berfungsi dengan baik. Kini, dia terpaksa bergantung kepada rawatan hemodialisis.
"Buah pinggang saya perlu dicuci empat kali sehari (cuci air), rumah tangga dan anak (seorang lelaki) perlu diberi perhatian supaya persekolahan dia sempurna, jadi suami ambil keputusan untuk berhenti kerja lebih kurang tiga tahun lepas, sebelum ini lama dia kerja di kilang itu.
"Sejak itu kami tiada sumber pendapatan tetap, tapi suami bela ayam kampung sikit, tanam sayur, cukuplah untuk makan kami tiga beranak. Hampir setiap hari juga suami akan pergi ambil makanan percuma yang disediakan untuk orang susah tajaan seorang usahawan," katanya yang berasal dari Kampung Selarong Panjang dekat sini.
Kongsi Sofiah, walaupun hidup dalam serba kekurangan, dia dan suami Karin Md Saad, 47, beruntung kerana sering dibantu adik beradik dan masyarakat setempat. Bantuan bakul makanan yang disediakan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan turut meringankan beban ditanggung.
"Rasa lapang sangat apabila dapat bantuan ini macam beras, bihun, biskut dan gula, tidak perlu dah keluar belanja untuk barang-barang asas ni," katanya yang kini tinggal di rumah pusaka keluarga suaminya.
Katanya, dengan bantuan diterima, mereka tidak perlu mengikat perut dan tumpuan sepenuhnya boleh diberikan kepada proses pembelajaran anaknya, Muhammad Arif Ramadhan Karin, 13, pelajar di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!