382 kakitangan MAIK potong gaji secara sukarela
KOTA BHARU - Seramai 382 kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memotong gaji secara sukarela bermula Januari lalu untuk disumbangkan kepada Dana Awam Baitulmal badan itu.
Timbalan Yang Dipertuanya, Zulkifle Ab Rahman berkata, pemotongan secara sukarela itu bertujuan membantu masyarakat yang memerlukan.
"Gaji itu bukan untuk kebajikan kakitangan sebaliknya akan ditambah dalam setiap aktiviti kebajikan yang kita lakukan untuk masyarakat termasuk bukan Islam," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau hadir menyampaikan bantuan Program Bantuan Prihatin MAIK dengan kerjasama Yayasan Amal Dato' Zul Wisma di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Amal Dato'Zul Wisma iaitu Datuk Dr Zulkepli Mohamad.
Beliau juga memberitahu, sehingga kini dana terkumpul lebih RM100,000 dan akan bertambah secara bulanan.
Sementara itu, mengulas mengenai sumbangan amal berkenaan, Zulkifle berkata, buat julung kalinya MAIK berkolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf.
Katanya, NGO antara badan yang dekat dengan masyarakat dan mempunyai jaringan kemasyarakatan yang meluas dan memudahkan lagi urusan pemberian sumbangan dilakukan.
"Untuk hari ini kita beri sumbangan wang tunai dan kepada 300 penerima di Kota Bharu. Insya-ALLAH usaha kolaboratif ini akan diteruskan dari masa ke masa melibatkan daerah lain pula," katanya.
MAIK turut mengajak seluruh masyarakat untuk sama-sama menyumbang kepada Dana Awam Baitulmal bagi membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!