Kelonggaran individu lengkap dos vaksin diputuskan minggu depan: PM

Muhyiddin ketika meninjau proses pembotolan bebuli (vial) vaksin Covid-19 Sinovac pada sesi lawatan ke Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd di Taman Perindustrian Puchong Utama hari ini. Foto Bernama
Muhyiddin ketika meninjau proses pembotolan bebuli (vial) vaksin Covid-19 Sinovac pada sesi lawatan ke Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd di Taman Perindustrian Puchong Utama hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUCHONG - [DIKEMASKINI] Kelonggaran bagi individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara minggu depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran itu bagi memberi faedah atau keistimewaan kepada mereka yang telah lengkap dos vaksin mereka.

"Lepas itu kita akan umumkan apakah kelonggaran-kelonggaran kepada mereka yang dapat dua dos ini supaya mereka tidak terus 'terikat’; perlu ada beberapa kelebihan (advantage) untuk mereka," katanya setelah melakukan lawatan ke syarikat farmaseutikal Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd di sini pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, kelonggaran itu mungkin termasuk pergerakan untuk membeli-belah atau sekurang-kurangnya rentas daerah.

Menurut beliau, langkah berkenaan juga seiring dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi terutama di Lembah Klang pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) nanti.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan kini menumpukan proses vaksinasi di kawasan Lembah Klang untuk terus menurunkan kes Covid-19 di kawasan ini.

"Kita telah tubuh ‘task force’ antaranya bagi meningkatkan jumlah vaksinasi di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

"Buat masa sekarang ada tiga juta bekalan vaksin untuk warga kawasan ini bagi memastikan penurunan dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang, supaya kawasan ini boleh masuk ke Fasa 2 PPN dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, orang ramai terus diingat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan awam yang ditetapkan bagi memastikan wabak Covid-19 terus terkawal. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!