UMNO perlu tegas pendirian: Puad Zarkashi

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

JOHOR BAHRU- UMNO perlu tegas dengan pendirian parti itu untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun ada dalam kalangan pemimpinnya mengambil tindakan ‘songsang’.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, memberikan sokongan terhadap Muhyiddin dengan menjadikan rakyat sebagai alasan tidak seharusnya dilakukan oleh ‘kluster menteri’.

“Rakyat dan pandemik juga dijadikan alasan, perpecahan Melayu dijadikan alasan dan peruntukan kawasan juga jadi alasan.

“Tetapi apakah tidak ada titik noktah kepada gejala ini? UMNO perlu tegas. Tinggal 10.. 10 lah. Tinggal tiga, tigalah.

“Orang kata UMNO berpecah. UMNO dikatakan berpecah bukan kerana pemilihan parti tetapi UMNO nampak berpecah kerana ada yang menentang keputusan parti. Mereka sanggup jadi ‘power broker’, jual parti dan berunding tanpa restu parti. Puncanya, untuk kekal jawatan dan takut tindakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu berkata, UMNO perlu menjadikan UMNO Sabah sebagai contoh terbaik apabila 21 ketua bahagian parti itu ‘lari lintang pukang’ meninggalkan parti.

Jelasnya, hanya tiga pemimpin parti itu yang istiqamah dengan UMNO iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin (Timbalan Ketua Menteri Sabah), Datuk Raime Unggi (Ahli Parlimen Tenom) dan Datuk Yakub Khan (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah).

“Mereka yang lari itu bukan kecil anak. Sembilan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), lima ahli Parlimen dan dua orang Senator. Bukan calang-calang, tetapi UMNO umpama habis madu sepah dibuang.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi adakah UMNO Sabah tersungkur? Ahli dan pemimpin bawahan tidak lari. (Sebaliknya) Timbalan, naib, ketua wanita dan ketua pemuda tampil menggalas tugas ketua bahagian yang lari.

“Sebab itu di Pilihan Raya Negeri Sabah, walaupun disabotaj dan ditikam dari belakang, UMNO menang 14 kerusi berbanding Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) 13 kerusi. Bersatu dapat ketua menteri kerana Perikatan Nasional (PN) ada 21 kerusi,” ujarnya.

Justeru katanya, UMNO tidak boleh apologetik kerana kononnya takut perpecahan.

Tegasnya, disiplin tetap disiplin dan melanggar disiplin ada musibahnya.

“Tiada kompromi dalam bab tatatertib. Tinggal tiga, tigalah. Ahli tidak lari. Di sebelah sana nanti akan sampai giliran mereka, habis madu sepah dibuang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!