Penjaja rayu benarkan pasar pagi beroperasi
KUALA LUMPUR - Penjaja pasar pagi di Wilayah Persekutuan merayu Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan mereka beroperasi.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, pasar pagi ditutup sejak 1 Jun lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menyebabkan penjaja hilang pendapatan dan ada di antara mereka terpaksa beratur untuk mendapatkan bakul makanan di pejabatnya.
"Saya faham tujuan kerajaan tutup pasar pagi kerana mahu kurangkan himpunan orang ramai tetapi melalui pemerhatian saya sebelum ini penjaja menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan menyediakan buku daftar, imbas suhu dan dikawal Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Saya juga tidak faham kenapa kerajaan membenarkan pasar dalam bangunan yang pengudaraan terkepung dan sesak beroperasi tetapi pasar pagi di kawasan terbuka diarah tutup," katanya pada sidang akhbar di tapak pasar pagi Taman Gembira di sini pada Sabtu.
Turut hadir Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil serta wakil persatuan penjaja pasar pagi Taman Gembira.
Teresa berkata, isu tersebut pernah dibangkitkan di MKN Wilayah Persekutuan namun keputusan yang diterima adalah pasar pagi atau konsep bazar tidak dibenarkan beroperasi buat masa ni.
"Saya juga membangkitkan isu ini kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi mesyuarat secara dalam talian pada Jumaat dan beliau memaklumkan perlu tunggu sehingga 1 Ogos iaitu selepas capai 80 peratus divaksin," katanya.
Sementara itu, Fahmi mencadangkan DBKL memberikan bantuan contohnya RM1,000 sebulan kepada penjaja yang dipaksa tutup operasi atau tidak dibenarkan menjalankan perniagaan.
Selain itu, beliau meminta MKN tidak membuat keputusan tanpa melihat situasi dihadapi rakyat.
"Jangan buat keputusan yang tidak berasaskan realiti sebenar seperti tidak berpijak di bumi nyata.
"Apabila pilihan terhad, orang ramai terpaksa berpusu-pusu ke tempat tertentu. Kita nak elak orang berkumpul tetapi telah meningkatkan lagi kebarangkalian jangkitan Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!