Muhammad Sanusi sedia bayar kompaun
LANGKAWI - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sedia membayar kompaun kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji kereta di Autocity, Juru Pulau Pinang pada Jun lalu.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi memaklumkan beliau belum menerima notis kompaun berkenaan.
“Saya belum terima notis seperti diperkatakan. Saya tunggulah, saya tunggu. Sudah dapat notis saya pergi bayar,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata sedemikian ketika mengulas kenyataan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain yang memaklumkan menerima arahan dan akan mengeluarkan kompaun ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam masa terdekat.
Mohd Shuhaily memaklumkan kompaun akan dikeluarkan kerana melanggar SOP dengan memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Pulau Pinang bulan lalu.
Video Muhammad Sanusi memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Pulau Pinang kerajaan masih menguatkuasakan Sekatan Pergerakan Penuh itu tular di media sosial.
Pada 5 Jun lalu, seorang pengguna Facebook mendakwa dia dan suaminya melihat Menteri Besar Kedah itu berada di pusat jualan kereta dan memandu uji sebuah kenderaan kira-kira jam 6.30 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!