Covid-19: Tiada jangkitan varian Delta di Kelantan

Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin
A
A
A

KOTA BHARU – Tiada jangkitan Covid-19 melibatkan varian Delta direkodkan di negeri ini sehingga Sabtu, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Menurutnya, walaupun begitu, seluruh rakyat negeri ini dinasihatkan untuk kekal mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menjaga diri dan kebersihan setiap masa, terutamanya menjelang musim perayaan Aidiladha ini.

“Mungkin ada perantau yang pulang atas sebab-sebab tertentu dan kita pula mengabaikan penjagaan SOP dan sebagainya. Ini yang membimbangkan kami sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, peningkatan kes yang berlaku di negeri ini sejak minggu lalu adalah melibatkan pelbagai kluster dalam komuniti, jangkitan kes di penjara dan aktiviti merentas negeri.

Dr Zaini berkata, pihaknya turut menjangkakan angka harian jangkitan mungkin akan berada dalam lingkungan 200 kes sehari dalam tempoh musim perayaan ini.

“Kita tidak boleh jangka perkara ini namun ramalan awal kita adalah melibatkan jumlah tersebut. Apa pun terpulang kepada masyarakat itu sendiri untuk terus menjaga SOP, jaga jarak, jaga pergerakan, basuh tangan dan bersihkan diri setiap masa.

“Kita mahu angka harian terus berkurangan memandangkan kita sudah berjaya berada di fasa kedua pemulihan ketika ini. Diharapkan semua pihak akan beri kerjasama sebaik mungkin untuk kita bendung penularan pandemik ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!