'Orang dah tak naik teksi, cuma dapat RM20 sehari'
TAIPING - Penutupan pelbagai sektor khususnya pelancongan di bandar Taiping memberikan kesan besar kepada pemandu teksi dan kereta sewa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.
Setiausaha Persatuan Pemandu/Pemilik Teksi dan Kereta Sewa Bandar Taiping, K Thanaraj berkata, apabila banyak sektor perniagaan ditutup, permintaan terhadap perkhidmatan teksi terus berkurangan sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.
Menurutnya, kebanyakan pemandu teksi terutama di bandar Taiping memang terkesan dan kehilangan pendapatan untuk menyara keluarga masing-masing.
"Secara purata pendapatan pemandu teksi ketika ini hanya RM20 sehari berbanding RM50 sehari paling sedikit yang mereka boleh peroleh sebelum ini.
"Orang dah tak keluar rumah sangat dan banyak sektor tak buka terutama pelancongan. Memang orang dah tak naik teksi untuk pergi ke mana-mana," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program penyerahan sumbangan pek makanan di Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) Taiping di sini pada Sabtu.
Hadir sama menyampaikan sumbangan itu, Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie.
Menurut Thanaraj, ketika tempoh ini, ramai dalam kalangan pemandu teksi dan kereta sewa terpaksa bergantung kepada bantuan makanan yang disediakan pelbagai pihak.
Jelasnya, pemberian pek makanan amat membantu meringankan beban selain mengharapkan kerajaan membuka lebih banyak sektor ekonomi.
Katanya, pembukaan lebih banyak sektor terutama pelancongan akan membantu merancakkan kembali pendapatan lebih 100 pemandu teksi dan kereta sewa di Taiping.
Sementara itu, Ahmad Shalimin berkata, kira-kira 50 pek barangan makanan keperluan diberikan kepada pemandu teksi yang terjejas.
Menurutnya, selain pemandu teksi, pek makanan tersebut turut diedarkan kepada penduduk Taiping yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!