Zii Jia berupaya urus tekanan: Norza
PEMAIN perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia yang bakal membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Tokyo 2020 minggu depan, mampu mempamerkan aksi cemerlang.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemain berusia 23 tahun itu jelas mampu menguruskan tekanan dan kekal fokus untuk memberikan keputusan yang diharapkan.
“Zii Jia berdepan pelbagai masalah ketika menyertai Terbuka Thailand (awal tahun ini), beliau sedar betapa sukarnya perkara itu.
“Saya rasa dia mampu dan boleh atasi tekanan tersebut, dan sedar cabaran yang bakal dihadapinya. Selepas Kejuaraan Seluruh England, saya tahu dia bersedia dan telah merangka rancangan permainan untuk menghadapi Tokyo 2020,” kata Mohamd Norza dalam kenyataan di sini.
Selain itu, Mohamad Norza juga memuji semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh semua lapan pemain kebangsaan yang ditempatkan di bawah syarat gelembung ketat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, yang sedang menjalani fasa terakhir latihan mereka menjelang pertarungan Olimpik.
Mohamad Norza berkata, cabaran besar yang dihadapi pemain akibat pandemik Covid-19 global, telah menguatkan mereka untuk tidak berputus asa dalam usaha mereka untuk layak dan menyasarkan prestasi peringkat tinggi di Sukan Olimpik.
“Kami melihat gabungan pemain muda dan senior adalah pelengkap dan bermanfaat kepada mereka semua. Mereka bukan lagi pemain profesional atau BAM, tetapi adalah pasukan Malaysia, semua berlatih bersama di bawah satu bumbung.
“Saya amat berbangga dengan semangat dan keazaman yang ditunjukkan. Saya yakin kesukaran yang mereka hadapi sebelum ini telah menguatkan mereka dan mereka kini telah bersedia untuk menghadapi Tokyo 2020,” katanya.
Beliau sebelum itu melawat lapan pemain yang bakal beraksi di Tokyo, berada dalam fasa terakhir latihan mereka di ABM, yang diuruskan dengan teliti bagi memastikan semua prosedur dipatuhi dengan ketat bagi mengelakkan sebarang kemungkinan jangkitan Covid-19.
Mohamad Norza meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau latihan itu dan turut memberikan kata-kata semangat kepada pemain agar terus fokus di Tokyo yang bakal menyaksikan pemain negara beraksi dari 24 Julai hingga 2 Ogos.
Selain Zii Jia, Malaysia akan diwakili Soniia Cheah dalam perseorangan wanita, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita), dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!