Gabungan 45 NGO gesa moratorium automatik tanpa riba diberikan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam (Gabungan) meminta kerajaan memperkemaskan pakej bantuan untuk rakyat termasuk menawarkan moratorium pinjaman automatik tanpa syarat dan riba.

Koordinator Gabungan, Ahmad Yazid Othman berkata, unsur riba akan menyebabkan rakyat beragama Islam secara sistematik menolak moratorium itu, manakala bagi mereka yang menerima bantuan tersebut bakal terperangkap dengan hutang berganda.

“Hanya yang mampu akan menolak tawaran moratorium dan ini akan menggagalkan matlamat serta hujah kenapa moratorium diperlukan rakyat ketika ini.

“Moratorium yang sedang ditawarkan adalah sebuah perangkap yang akan menzalimi kebanyakan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya golongan B40 dan M40,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujar Ahmad Yazid, kebanyakan penyewa rumah dan pejabat tidak diberi pengurangan bayaran oleh pemilik premis menyebabkan masalah hutang isi rumah akan bertambah.

Selain itu katanya, kerajaan dan agensi pemungut cukai diharap lebih empati terhadap situasi kewangan rakyat ketika ini dengan tawaran tertentu seperti pemberian rebat dan bayaran ansuran tanpa riba bagi cukai tertunggak.

“Kami agak terkilan apabila menerima banyak aduan. Surat potongan gaji CP38 yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun ini seolah-olah menafikan krisis yang melanda.

“Gabungan juga merasakan kerajaan wajar membeku tindakan pengisytiharan muflis yang dikatakan meningkat mendadak sepanjang PKP,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!