Imuniti kelompok, penyelesaian tunggal ASEAN bendung kes Covid-19

Imuniti kelompok boleh dicapai apabila sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk lengkap divaksin.
Imuniti kelompok boleh dicapai apabila sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk lengkap divaksin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejak pandemik Covid-19 muncul tahun lalu, banyak negara anggota ASEAN kini bergelut dengan lonjakan jangkitan diburukkan lagi dengan kemunculan pelbagai varian baharu terutamanya varian Delta.

Pada Jumaat, Indonesia mencatat 54,000 kes baharu harian sementara Malaysia (12,541), Thailand (9,692), Myanmar (6,194), Filipina (5,676) dan Vietnam (3,336). Semua negara, kecuali Singapura dan Brunei, menyaksikan peningkatan jumlah kes baharu.

Meskipun semua negara blok itu telah meningkatkan usaha vaksinasi dengan Malaysia mendahului kadar vaksinasi menyaksikan lebih 400,000 dos vaksin diberikan sehari, namun masih tidak dapat membendung peningkatan kes baharu.

Apakah yang menyebabkan situasi ini berlaku?

Ahli akademik, Profesor Dr Zaid Ahmad dari Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia berkata, keadaan itu mungkin disebabkan negara ASEAN belum mencapai imuniti kelompok.

"Walaupun jumlah vaksinasi kelihatan memberangsangkan, tanpa imuniti kelompok, keadaan tetap tidak berubah. Ini bermakna ASEAN harus menggandakan usaha ke arah mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut data terbaru oleh OurWorldInData.org, di antara 10 negara ASEAN, Singapura mempunyai kadar vaksinasi tertinggi dengan 42.4 peratus penduduknya sudah lengkap divaksin diikuti Kemboja (24.5 peratus), Malaysia (13.1 peratus), Laos ( 9.4 peratus), Indonesia (5.9 peratus), Thailand (4.8 peratus), Brunei (4.3 peratus), Filipina (3.7 peratus), Myanmar (2.8 peratus), Vietnam (0.3 peratus).

Imuniti kelompok boleh dicapai apabila sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk lengkap divaksin.

Artikel Berkaitan:

Zaid berkata, untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin bukan dengan sekadar membendung peningkatan kes baharu tetapi memastikan pandemik itu tidak bertukar menjadi endemik.

Oleh itu, katanya, kerjasama rentas sempadan dalam kalangan negara ASEAN perlu dipertingkat terutama mengenai usaha bantuan Covid-19 dan memastikan bekalan vaksin yang mencukupi di seluruh rantau ini.

"Sebagai sebuah blok, anggota ASEAN, tidak boleh bekerja sendirian dalam mengekang penularan varian baharu," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Harris Zainul berkata, tiada satu vaksin pun yang diluluskan oleh semua negara anggota yang katanya, menjadi halangan pertama dalam menangani isu berkaitan bekalan atau berkongsi vaksin, malah bagi mengiktiraf pasport vaksin.

"Andai kita melihat kepada vaksin Covishield sama seperti vaksin AstraZeneca, itu pun hanya 80 peratus saja negara anggota meluluskannya untuk kegunaan domestik.

"Selain itu, jika dilihat kepada vaksin lain terutama yang dihasilkan Sinopharm dan Sinovac China, ia hanya diiktiraf tujuh negara ASEAN," katanya.

Pengiktirafan vaksin secara bersama menjadi langkah pertama dalam usaha mengatasi permasalahan berkaitan pengiktirafan pasport vaksin, tidak kira sama ada ia pasport secara digital mahupun fizikal.

Mengenai implikasi pandemik Covid-19 yang berpanjangan di rantau ini, Zaid bimbang jutaan orang berisiko dilanda kemiskinan melampau akibat pengangguran dan beban kewangan.

Sekatan pergerakan yang dikuatkuasa untuk membendung virus menyumbang kepada tekanan mental, perilaku yang ganas dan masalah sosial lain.

"Apa yang merisaukan saya ialah sektor pendidikan yang terjejas teruk dan kesannya akan dilihat dalam jangka panjang," katanya sambil menambah pandemik yang berpanjangan turut menyebabkan ketidakstabilan politik dan memperlahankan proses pemulihan pasca pandemik.

Mengulas mengenai pemulihan pasca pandemik, Harris berkata, Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) yang disahkan pada 2020 menyedari bahawa pandemik masih menular, oleh itu kerangka kerja itu akan bertindak sebagai langkah proaktif, fleksibel dan tangkas untuk menanggani perubahan.

"Ini seharusnya cukup untuk melindungi ACRF daripada kekurangan atau kejutan jangka panjang, bermakna ia masih amat relevan ketika ini, sama seperti sebelumnya," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!