Hilang tiga hari, mayat nelayan ditemukan terapung celah pokok
TELUK INTAN - Mayat nelayan yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu ditemukan terapung di celah pokok di Sungai Hutan Melintang berhampiran pelantar ikan Yong Tat, di sini pada Sabtu.
Mangsa dikenali Sarawat, 48, warga Thailand ditemukan anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat kira-kira 8 kilometer dari lokasi hilang pada jam 11.18 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Zulkafle Abdullah berkata, maklumat kejadian itu diterima Khamis lalu pada jam 9.50 malam memaklumkan mangsa terjatuh dari bot dan lemas di dalam sungai berkenaan.
"Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan dengan bantuan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9).
"Anggota bomba kemudiannya berjaya menjumpai mayat lelaki itu dalam keadaan terapung di celah pokok kira-kira 8 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa yang merupakan tekong bot nelayan itu telah dibawa ke jeti awam dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi yang turut dibantu anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan itu ditamatkan pada jam 1.35 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!