Perlu ada SOP tambahan pelancong ke Langkawi
LANGKAWI - Pengusaha hotel di Langkawi menyambut baik usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang meningkatkan pemberian vaksin kepada 80 peratus penduduk Pulau Langkawi bagi merealisasikan Program Destinasi Bebas Covid-19.
Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Kedah dan Perlis Razmi Rahmat berkata, bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) tambahan perlu disertakan sekiranya mereka yang divaksin diberi kebenaran merentas negeri untuk melancong.
Menurutnya, ramai rakyat di negara ini menanti pengumuman kebenaran tersebut selepas beberapa kali pergerakan dan kebenaran aktiviti sosial dihadkan akibat peningkatan kes Covid-19.
"Kita berharap projek perintis ini akan berjalan lancar.
Bagaimanapun katanya, pihak pengurusan hotel di pusat pelancongan itu berharap kerajaan menambah baik SOP bagi mengelakkan penularan virus itu," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas Pulau Langkawi dipilih sebagai lapangan ujian untuk menyemarakkan kembali industri pelancongan yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.
Razmi yang juga Pengurus Besar Hotel Adya Langkawi (HAL), berkata sekiranya sektor pelancongan kembali ditutup beliau percaya banyak pengusaha hotel tidak akan mampu bertahan lagi.
"Sekarang varian Covid-19 Delta yang cepat menular juga sedang melanda dunia.
Kami berharap perkara seperti ini akan diberikan pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan terutama jumlah pelancong yang akan dibenarkan memasuki Langkawi bagi memudahkan kawalan," ujarnya.
Tambahnya, pihaknya percaya sektor pelancongan terutama hotel akan kembali menjana pendapatan selaras dengan tiga fasa Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan oleh MOTAC.
ARTIKEL BERKAITAN: MOTAC sasar vaksin 80 peratus penduduk Langkawi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!