Gajah Pygmy Borneo ditemui mati
LAHAD DATU - Seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati di kawasan Ladang Sahabat 1, Tungku di sini pada Jumaat.
Bangkai gajah jantan itu ditemui kira-kira jam 1 tengah hari oleh seorang pekerja ladang yang membuat rondaan di kawasan terbabit.
Penemuan bangkai haiwan itu terus dimaklumkan kepada pengurus ladang sebelum laporan dibuat kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) daerah Lahad Datu.
Pegawai JHL Daerah Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, sepasukan anggota JHL bergegas ke lokasi kejadian sebaik laporan itu diterima.
"Pemeriksaan awal mendapati bangkai berkenaan adalah gajah yang berusia anggaran lima hingga tujuh tahun.
"Setakat ini pemeriksaan luaran pada badan gajah jantan itu tidak menemui kesan kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Silvester bagaimanapun berkata, proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian haiwan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!