Larangan ibadah korban di wilayah Kashmir
NEW DELHI - Larangan melaksanakan ibadah korban ketika sambutan Aidiladha telah mencetuskan kemarahan penduduk majoriti Muslim di wilayah Kashmir ditadbir India.
Keputusan kontroversi itu dibuat pihak pentadbiran tempatan yang melarang penduduk Muslim yang meliputi lebih 70 peratus populasi di Kashmir menyembelih lembu, unta dan haiwan lain serta memberi amaran tentang tindakan tegas yang akan diambil ke atas individu yang kononnya melanggar undang-undang kebajikan haiwan.
Bagaimanapun, penduduk Muslim di wilayah itu melihat larangan itu sebagai cubaan untuk menghapuskan identiti mereka.
“Arahan itu melanggar Artikel 14 Perlembagaan India yang memberi jaminan terhadap hak layanan yang sama dan mencabuli Artikel 25 serta 26 tentang kebebasan beragama.
“Ia jelas menyasarkan komuniti Islam,” kata peguam hak asasi manusia Srinagar, Habell Iqbal.
Sementara itu, penganalisis politik, Majid Hyderi menyifatkan larangan ibadah korban itu sebagai serangan terhadap kebebasan beragama di Kashmir.
“Ia adalah agenda komunal pemerintah berhaluan kanan yang cuba menindas masyarakat Muslim yang merupakan golongan minoriti di seluruh India,” tegasnya.
Difahamkan, siri arahan baharu yang dianggap sebagai ideologi Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi telah dikeluarkan sejak New Delhi menarik balik status autonomi khas di Kashmir pada Ogos 2019 dan pembahagian Jammu dan Kashmir (J&K) kepada dua wilayah persekutuan.
“Larangan ibadah korban adalah arahan terbaharu BJP. Kini, parti pemerintah itu yang membuat keputusan terhadap menu makanan, kebudayaan, identiti dan sejarah penduduk Muslim di wilayah tersebut. Serangan ke atas sentimen agama adalah provokasi yang disengajakan dan mencetuskan kebencian,” ujar wartawan, Gowhar Geelani. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!