Mampukah Jun Hoong saingi penerjun China?

Jun Hoong
Jun Hoong
A
A
A

CHINA sebagai kuasa besar sukan terjun sudah mula mendominasi acara itu di Sukan Olimpik edisi Los Angeles 1984 dan sehingga kini telah pun mengungguli 69 pingat dengan 40 daripadanya pingat emas.

Malaysia pula buat kali pertama menyertai acara terjun pada sukan terbesar itu pada edisi Sydney 2000, dengan dua penerjun lelaki Yeoh Ken Nee dan Mohamed Azreen Bahari dan seorang penerjun wanita Leong Mun Yee, yang kesemuanya tamat cabaran masing-masing pada pusingan awal.

Hanya 12 tahun kemudian, Pandelela Rinong memenangi pingat pertama Olimpik dalam acara terjun pada Olimpik London pada 2012, dalam acara terjun 10 meter (m) platform dengan memenangi pingat gangsa, sebelum memenangi pingat perak dalam terjun 10m platform seirama, bersama pasangannya Cheong Jun Hoong di Rio 2016.

Untuk rekod, tiada penerjun Malaysia yang pernah mengalahkan penerjun China untuk menang pingat emas pada acara peringkat dunia, kecuali Jun Hoong pada Kejohanan Dunia 2017 dalam acara 10m platform wanita di Budapest, Hungary.

Penerjun berusia 31 tahun dari Perak itu yang bergelut dengan kecederaan sejak itu, berjaya melayakkan diri ke Tokyo pada Kejohanan Terjun Dunia awal tahun ini.

Harapan tinggi diletakkan pada pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu, bagi mengulangi kejayaan di kejohanan dunia, namun bagi Jun Hoong, keutamaannya pada masa ini ialah untuk mencapai prestasi terbaik pada kejohanan besar itu, dan melakukan terjunannya tanpa sebarang kesilapan.

“Anda boleh berharap untuk itu (kalahkan penerjun China untuk emas). Tetapi saya cuma mahu lakukan yang terbaik,” kata Jun Hoong.

Jun Hoong yang hampir gagal melayakkan diri ke Olimpik Tokyo, namun keputusan pada saat-saat akhir Persektuan Renang Antarabangsa (FINA) yang membenarkan 18 penerjun terbaik dan bukan hanya 15 penerjun layak ke Olimpik itu berkata, beliau belum bersedia sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Masih cuba mendapatkan rentak saya dan fokus pada latihan, dan berharap semuanya baik pada masa itu. Masih belum sebenarnya (dapatkan prestasi terbaik) ... Masih pada prestasi lama, saya rasa saya perlu langkah ke hadapan dan buat masa ini fokus kepada teknik dan keupayaan saya.

“Keutamaannya pada masa ini ialah untuk bebas dari kecederaan atau sekurang-kurangnya di dalam kawalan, dan paling penting keselamatan sebelum berlepas, ketika perjalanan, di Tokyo dan pulang semua,” katanya.

Selain Jun Hoong, Malaysia akan diwakili Pandelela bagi acara 10m platform individu dan 10m platform seirama bersama Leong Mun Yee, Dhabitah Sabri (3m papan anjal) dan Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal), manakala tiada seorang pun penerjun lelaki layak ke sukan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!