Gantung pelaksanaan kebankrapan
MENURUT Jabatan Insolvensi Malaysia, kebankrapan adalah satu proses di mana seorang penghutang itu diisytiharkan sebagai bankrap lanjutan daripada suatu Perintah Penghukuman yang dibuat di Mahkamah Tinggi terhadap penghutang tersebut atas kegagalan atau ketidakupayaan untuk membayar hutang sekurang-kurangnya RM50,000.
Mahkamah Tinggi akan mengeluarkan suatu Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman terhadap seseorang individu selepas Petisyen Kebankrapan dikemukakan.
Sebenarnya kebankrapan adalah perkara serius dan seharusnya dijadikan sebagai jalan terakhir. Ini kerana terdapat banyak sekatan dan kawalan yang dikenakan ke atas bankrap seperti sekatan keluar negara, memegang jawatan sebagai pengarah syarikat atau menjalankan perniagaan dan keperluan untuk menyumbang ke dalam harta kebankrapan tanpa gagal untuk faedah pemiutang-pemiutang. Seorang bankrap juga perlu menyerahkan segala hartanya termasuk rumah dan kenderaan kepada pemiutang.
Individu yang telah diisytihar bankrap disekat sebahagian kebebasannya, sukar mendapat kemudahan pembiayaan, dikawal kemudahan kewangannya dan banyak lagi yang menyebabkan segala urusan perniagaan mereka terbantut.
Selain itu, tiada pelepasan automatik dipraktiskan di negara ini. Bankrap hanya boleh dilepaskan daripada kebankrapan oleh mahkamah atau Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) tetapi ia tertakluk kepada sebarang bantahan daripada pihak pemiutang.
Akibat pandemik Covid-19, lebih ramai orang yang berisiko diisytiharkan menjadi bankrap disebabkan hutang mereka tidak dapat dilunaskan. Mereka hilang pekerjaan, perniagaan merosot atau menghadapi masalah kesihatan.
Kerajaan dengarnya berura-ura untuk menaikkan kadar kebankrapan dari RM50,000 kepada angka lebih tinggi bagi mengelak lebih ramai yang diisytiharkan bankrap.
Kesukaran yang dihadapi masyarakat kini tidak hanya dilazimi oleh golongan B40 tetapi turut dirasai golongan M40 dan T20. Pada pandangan saya, menaikkan kadar kebankrapan tidak memadai kerana jumlah tersebut masih lagi akan memberi risiko kepada penghutang untuk diisytiharkan menjadi bankrap.
Pelaksanaan perintah penghukuman dan penerimaan yang menjadikan seseorang itu bankrap perlu digantung dalam tempoh dua tahun bagi memberi nafas kepada rakyat untuk mengatur semula keberhutangan mereka tanpa disekat untuk terus berniaga atau mencari wang dalam bentuk baharu.
Sekiranya mereka diisytiharkan bankrap, pasti mereka disekat daripada melakukan sebarang aktiviti perniagaan, malah harta mereka juga terpaksa diserahkan keapda pemiutang penghakiman.
Dalam tempoh dua tahun ini, sangat wajar kita melihat kembali keberkesanan menjadikan seseorang itu bankrap dengan nilaian yang rendah tersebut.
Bukanlah saya mengatakan hutang itu tidak perlu dibayar tetapi disebabkan faktor luaran yang tidak dapat dikawal seperti pandemik Covid-19, wajar bagi kebankrapan ini digantung sementara pelaksanaannya.
Penderitaan rakyat sangat jelas. Ia dihadapi segenap lapisan masyarakat. Tanpa memberi sela tempoh yang sesuai bagi mereka membina semula perniagaan dan mendapat pendapatan, pasti mereka akan terus terjerumus ke lembah kemiskinan, tidak dapat berniaga dengan bebas, malah pergerakan juga tidak lagi bebas seperti sebelum ini.
Oleh itu, saya sarankan kepada pihak kerajaan agar menggantung semua perundangan mengenai kebankrapan bagi tempoh dua tahun supaya rakyat dapat mengatur semula keberhutangan mereka dan merangka pelan perniagaan bagi mengembalikan perniagaan agar mendapat keuntungan.
Mudah-mudahan dengan bantuan daripada pihak kerajaan dan inisiatif rakyat, mereka dapat keluar daripada keberhutangan dan kemiskinan. Perancangan sebegini memerlukan masa untuk membuahkan hasil.
Jika pihak pemiutang penghakiman terus menerus menekan penghutang penghakiman dengan Notis Kebankrapan, penghutang penghakiman tidak mempunyai pilihan lain selain menyerahkan segala hartanya kepada pemiutang penghakiman dan menjadikan diri mereka terjatuh ke dalam golongan miskin yang memerlukan bantuan kerajaan.
Kemiskinan dan menjadi asnaf zakat boleh dielak. Inilah masanya kerajaan perlu membantu rakyat keluar daripada cengkaman kebankrapan.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!