Menyesuaikan diri dengan Covid sama seperti selesema

No Image Caption
A
A
A
SUATU ketika dahulu selesema adalah penyakit yang membawa maut. Berjuta manusia telah mati akibatnya.

Serangan selesema paling dahsyat menyerang sejarah manusia ialah Spanish Flu yang menteri kesihatan kita baru-baru ini tersalah sebut sebagai Spanish Fly.

Lebih 50 juta manusia dikatakan mati kerananya. Ia berpunca dari influenza H1N1 bermula dari 1918 sehingga 1920.

500 juta orang dijangkiti virus ini di seluruh dunia. Perang Dunia Pertama memburukkan lagi keadaan.

Hospital yang padat dengan pesakit dan tahap kebersihan yang rendah menjadikan wabak ini merebak dengan pantas.

Ia dikatakan berasal dari Kansas, Amerika Syarikat tetapi kemudiannya merebak ke Eropah dengan Sepanyol menjadi tumpuan pihak media apabila Raja Sepanyol jatuh sakit sekali gus memberikan nama virus ini Spanish Flu.

Kini dunia sedang berhadapan dengan satu lagi serangan virus yang mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan flu atau selesema iaitu Covid-19.

Hanya masa yang akan menentukan bilakah badan kita dapat menyesuaikan diri dengan virus ini dan melawannya secara semula jadi tanpa bantuan vaksin.

Sementara itu terjadi, kita semua perlu memastikan pengambilan dua dos vaksin untuk memastikan yang sistem badan kita dibantu untuk menentang virus ini dari dalam.
Artikel Berkaitan:


Untuk membantu kita mencapai imuniti berkelompok, setiap seorang daripada kita rakyat Malaysia haruslah memastikan yang masyarakat mencapai setidak-tidaknya 75 peratus suntikan vaksin.

Jika ini tercapai, kita dah boleh jadi macam United Kingdom iaitu mempunyai kebebasan untuk kembali hidup normal, pergi ke stadium tengok bola dan kembali makan di restoran.

Dengan melengkapkan pengambilan vaksin sebanyak dua dos, jika kita dijangkiti virus Covid sekalipun ia hanya terhad kepada tahap 1 atau 2 sahaja.

Dan pada masa yang sama, moga-moga dengan selesainya proses pengambilan dua dos suntikan vaksin, badan kita akan dapat menerima kehadiran Covid sama sepertimana badan kita menyesuaikan diri dengan selesema.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!