Ketatkan kebenaran rentas negeri
SHAH ALAM - Kebenaran rentas negeri perlu diperketatkan bagi mengelakkan orang ramai pulang beraya ke kampung menjelang sambutan Aidiladha Selasa ini.
Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, ia kerana kes jangkitan harian diramal melonjak kepada 20,000 kes sehari sekiranya berlaku pergerakan pulang ke kampung.
“Kenapa kita tidak belajar daripada apa yang berlaku pada Aidilfitri lalu? Sebelum Aidilfitri, jumlah kes harian pada awalnya 3,000 kes sahaja sebelum melonjak hingga ke angka 13,000 kes sekarang.
“Dengan angka ini, saya ramalkan, jumlahnya akan naik mendadak kepada 20,000 kes seminggu selepas Aidiladha jika kita mengulangi kesilapan sama seperti Aidilfitri lalu,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata, rakyat tidak terperanjat sekiranya kes Covid-19 melonjak disebabkan sifat pentingkan diri sedangkan amaran telah diberikan oleh kerajaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Plaza Tol Gombak sesak
Beliau berkata, bagi memastikan sekatan perjalanan berkesan, kebenaran untuk pergerakan rentas negeri perlu diperketatkan dengan mengehadkan kepada mereka yang mempunyai kes kematian anggota keluarga terdekat atau kes kecemasan sahaja.
“Buat masa ini pergerakan untuk bekerja sepatutnya tidak dibenarkan kerana kita tahu minggu depan sudah hari raya.
“Kalau sekatan jalan raya (SJR) benarkan pergerakan untuk bekerja, kita bimbang ada yang ambil kesempatan untuk pulang beraya di kampung,” katanya.
Dr Hanafiah menegaskan, jumlah sekatan jalan raya (SJR) perlu ditambah dan diperketatkan lagi di lebuh raya dan simpang keluar lebuh raya seluruh negara.
Beliau menjelaskan, persepsi yang tidak tepat mungkin mempengaruhi orang ramai untuk pulang beraya di kampung meskipun negara merekodkan jumlah jangkitan harian yang tinggi.
Katanya, anggapan bahawa diri kebal selepas lengkap menerima dua dos vaksin adalah tidak tepat sama sekali.
“Mungkin ramai anggap bila lengkap suntik dua dos vaksin, kita boleh bergerak ke sana sini. Salah sebenarnya tanggapan itu kerana ia tidak bermaksud kita tidak akan jadi pembawa virus, tidak kena jangkitan dan tidak maut disebabkan jangkitan.
“Orang mungkin ingat bila mak ayah di kampung sudah lengkap dua dos dan mereka juga sudah lengkap dua dos, mereka boleh balik kampung. Sebenarnya kita masih perlu berwaspada terutama bila adanya varian baharu yang jauh lebih agresif dan boleh membunuh iaitu varian Delta,” kata beliau lagi.
Berikutan itu, Dr Hanafiah mengingatkan orang ramai agar memikirkan tentang nyawa orang tua masing-masing di kampung halaman.
“Adakah kita nak beraya hanya tahun ini sahaja? Kalau kita buat balik virus dan bila kedua-dua ibu bapa kita dah tiada, kita nak beraya dengan siapa selepas itu?
“Lebih baik kita korbankan Aidiladha tahun ini. Sekurang-kurangnya ibu bapa kita masih ada untuk hari raya yang akan datang. Korbankan dulu hari raya korban tahun ini, supaya kita tidak mengorbankan orang yang kita sayang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan jadi korban Covid-19 kerana sambut Aidiladha
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, untuk mempertingkatkan lagi pematuhan terhadap larangan rentas negeri, permohonan kebenaran dicadangkan dilakukan melalui aplikasi MySejahtera tanpa perlu mengisi borang tambahan.
“Langkah ini untuk memperkemaskan lagi stategi yang dilakukan kerana seperti kita tahu SJR sudahpun dilaksanakan.
“Melalui penggunaan MySejahtera ini ia akan mewujudkan gunasama dengan agensi lain seperti tentera dan ia turut membantu untuk mempertingkatkan strategi tersebut,” kata beliau.
Bagaimanapun, katanya, jumlah kenderaan yang banyak di lebuh raya atau jalan raya ketika ini tidak semestinya menunjukkan adanya pergerakan pulang ke kampung kerana ia memerlukan data sebenar.
“Namun, yang pasti kita masih belum dibenarkan balik kampung untuk mengelakkan sebarang potensi tularan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!