Kru dirasuk kuntilanak : Miller Khan

MILLER KHAN. Foto: ASRIL ASWANDI
MILLER KHAN. Foto: ASRIL ASWANDI
A
A
A

AKTOR kacak, Miller Khan, mendedahkan dia berdepan dengan peristiwa yang tidak dapat dilupakan ketika penggambaran Hide & Seek Minako, sekitar dua tahun lalu dan mengubah kepercayaannya terhadap dunia mistik.

Menurut aktor yang berasal dari Malaysia, namun menempa nama di Indonesia ini, kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi ketika penggambaran.

"Selepas selesai babak melibatkan saya, saya ambil keputusan untuk berehat di bilik.

"Tapi sebaik memasuki bilik itu, salah seorang krew itu tiba-tiba memandang saya dengan pandangan yang menakutkan.

"Saya diberitahu oleh kru produksi yang lain, kru terbabit dirasuk kuntilanak dan menyebabkan dia mengamuk serta membaling barang pada kru dan pelakon lain.

"Jadi bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, mereka minta saya beredar dari bilik berkenaan.

"Cuma saya pelik mengapa kru dirasuk itu hanya memandang saya, mungkin hantu itu suka saya," imbaunya sambil berseloroh ketika sidang media filem Hide & Seek Minako di One Utama, semalam.

Tambah pemilik nama penuh Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan ini, ia merupakan pengalaman pertama kalinya berdepan dengan perkara mistik dan secara tidak langsung membuatkan dia lebih percaya pada perkara ghaib.

Artikel Berkaitan:

"Dulu saya tak takut dan percaya, saya anggap hal-hal mistik ini hanya dalam filem atau drama.

"Tapi lepas melalui sendiri, barulah saya percaya dan sehingga ke hari ini, saya tidak dapat melupakan cara kru yang dirasuk itu melihat saya.

"Menurut kru di situ, punca kerasukan tersebut disebabkan kru terbabit ada membuang barang merata-rata dan menyebabkan penunggu di tempat itu marah," jelasnya.

Selain Miller, filem tersebut turut dibintagi Nicky Tirta, Regina Rengganis, Ario Astungkoro, Novinta Dhini dan ramai lagi.

Filem Hide & Seek Minako ini bakal ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 28 Februari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!