Penolong pengurus didakwa buat hantaran jelik

Mohamad Arif (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Ahad.
Mohamad Arif (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Ahad.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang penolong pengurus syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Ahad atas pertuduhan membuat hantaran jelik menggunakan perkhidmatan komunikasi pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Arif Ahmad, 29, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang menggunakan nama profil 'Uncle Ireeve @ mxdriv' di aplikasi Twitter didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran jelik menggunakan perkhidmatan komunikasi dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada jam 9.20 pagi, 25 Oktober tahun lepas.

Hantaran itu kemudian dibaca pada hari sama di sebuah kedai makan di Air Papan, Mersing pada jam 3.30 petang.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya sekali selain didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi kemudian memohon agar mahkamah menawarkan wang jaminan berjumlah RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan agar tertuduh tidak memuat naik sebarang hantaran di media sosial mengenai kes berkenaan.

Peguam Omar Kutty Abdul Aziz yang mewakili Mohamad Arif bagaimanapun meminta agar wang jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh menanggung ibu bapanya yang mempunyai beberapa penyakit dan berpendapatan sebanyak RM2,500 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Hakim Wan Mohd Norisham menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Ogos depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menasihati tertuduh tidak membuat sebarang komen di media sosial mengenai kes itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!