Polis rampas ganja RM1.2 juta
TUMPAT - Polis merampas ketulan ganja mampat seberat 494 kilogram (kg) bernilai RM1.2 juta selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV yang membawa bahan larangan itu terjunam ke dalam tali air di Kampung Lambor, Wakaf Bharu, di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, pemandu SUV itu berjaya melarikan diri daripada dicekup polis dalam serbuan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, semasa melakukan rondaan di jalan Kampung Pasir Puteh pada jam 9.50 malam, anggota dari unit kereta peronda polis (MPV) telah melihat sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Kenderaan yang dipandu suspek menghala ke persimpangan lampu isyarat di Chabang Empat telah diarahkan berhenti oleh kenderaan MPV," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Tumpat, di sini pada Ahad.
Menurutnya, bagaimanapun suspek bertindak memecut laju kenderaan bagi mengelakkan dicekup anggota polis.
Beliau berkata, anggota MPV mendapat bantuan dari Balai Polis Pengkalan Kubor untuk mengejar suspek.
Abdullah berkata, semasa mengejar suspek kenderaan yang dipandu terbabas ke dalam tali air di Kampung Lambor.
Katanya, sejurus berjaya keluar dari SUV itu suspek telah bertindak menahan dan membonceng sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki untuk melarikan diri.
"Semasa motosikal itu cuba ditahan, suspek bertindak melarikan diri ke dalam semak. Bagaimanapun polis berjaya menangkap penunggang motosikal untuk siasatan.
"Pemeriksaan lanjut ke atas SUV itu menjumpai 494 kilogram ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja," katanya.
Beliau berkata, sekiranya terlepas ke pasaran dadah tersebut mampu menampung seramai 988,000 orang penagih.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Siasatan awal mendapati dadah-dadah ini dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!