Lima lelaki dikompaun main badminton
MANJUNG - Lima lelaki dikenakan kompaun masing-masing RM2,000 selepas didapati bermain badminton di gelanggang sebuah premis di Ayer Tawar di sini pada Sabtu.
Dalam pemeriksaan sekitar jam 6 petang itu, kesemua mereka berusia lingkungan 25 hingga 31 tahun gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan melakukan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan tertutup.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, berdasarkan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN), sukan badminton masih tidak dibenarkan dalam tempoh fasa dua PPN.
"Semasa tiba di lokasi, kesemua mereka berhenti bermain namun mengaku bermain badminton dalam premis berkenaan.
"Jadi atas kesalahan itu, polis mengeluarkan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021," katanya.
Menurutnya, pemilik premis turut dikenakan tindakan kompaun RM4,000 kerana membenarkan aktiviti itu.
"Pemilik premis tidak berada di lokasi ketika pemeriksaan dilakukan dan dia akan dipanggil untuk tawaran kompaun terbabit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!