Kadet bomba hilang ketika cuba selamat rakan ditemui lemas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KANOWIT - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit yang hilang dibawa arus deras Sungai Kanowit ketika cuba menyelamatkan tiga rakan sekampungnya Ahad lepas ditemukan lemas hari ini.

Mayat Carlos Paee, 15, dijumpai terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dekat Nanga Engkeriring, 15 kilometer dari lokasi kejadian kira-kira 8.10 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik berkata mayat pelajar itu dibawa ke jeti Rumah Tony dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Kedua-dua ibu bapa mangsa yang membuat pengecaman mengesahkan mayat berkenaan adalah anak mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian di Bukung Jagoi kira-kira 1.47 tengah hari Ahad lepas, Carlos bersama rakannya David Lee Jilan terjun ke sungai dan berenang ke arah perahu dinaiki tiga rakannya yang dihanyutkan arus deras Sungai Kanowit.

Bagaimanapun, cubaan menyelamatkan rakan mereka itu gagal kerana arus sungai yang deras menyebabkan mereka menyelamatkan diri tetapi hanya David yang berjaya berenang ke tebing sungai manakala mangsa tenggelam dan dihanyutkan arus deras.

Ketiga-tiga rakan mereka kemudian diselamatkan penduduk kampung yang kebetulan melalui lokasi kejadian menggunakan perahu.

Mangsa baharu sahaja selesai mewakili sekolahnya ke pertandingan Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Zon 4 di SMK Sarikei Baru sehari sebelum kejadian.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!